Ringgit ditutup hampir tidak berubah, namun di paras tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup hampir tidak berubah, namun di paras tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup hampir tidak berubah namun berada di paras tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, dalam keadaan sentimen berhati-hati selepas kenaikan berturut-turut minggu lalu, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6805/6830 berbanding dolar AS daripada 4.6815/6855 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mata wang tempatan meningkat pada sesi petang kepada setinggi 4.6775 bagi setiap dolar AS sebelum kenaikannya dikurangkan menjelang akhir dagangan.

Beliau berkata, tumpuan akan terarah kepada data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan esok memandangkan pelabur mencari lagi petunjuk yang Rizab Persekutuan AS (Fed) berada di landasan untuk mengurangkan kadar faedah pada Jun.

"IHP keseluruhan dan teras AS masing-masing dijangka meningkat kepada 3.1 peratus dan 3.7 peratus pada Februari. Sekiranya data itu lebih rendah daripada jangkaan pasaran, ini mungkin membawa kepada peningkatan lagi ringgit," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound kepada 6.0107/0139 daripada 6.0050/0101 ketika ditutup pada Jumaat lalu dan rendah berbanding yen kepada 3.1923/1942 daripada 3.1821/1850.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding euro kepada 5.1181/1209 daripada 5.1188/1231 sebelumnya.

Mata wang domestik juga didagangkan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5197/5218 daripada 3.5160/5192 pada Jumaat lalu dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.2229/2363 daripada 13.2134/2321.

Unit tempatan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.42/8.44 minggu lalu namun meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 300.1/300.5 daripada 300.2/300.6.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini