Ringgit meningkat semula pada kadar ketara sepanjang minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat semula pada kadar ketara sepanjang minggu ini


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kembali mengukuh minggu ini dengan pulih kira-kira 0.7 peratus kepada sekitar 4.74 sedolar selepas merekodkan 4.7975 sedolar pada minggu lalu, paras terendah baharu dalam tempoh 26 tahun.

Mata wang tempatan juga kembali mengukuh berbanding unit mata wang utama lain termasuk pound (+1.10 peratus); euro (+0.82 peratus); dolar Singapura (+0.98 peratus); baht Thailand (+0.69 peratus); rupiah Indonesia (+1.34 peratus) dan won Korea (+1.12 peratus).

Kenanga Research berkata, dalam tiga hari pertama dagangan minggu ini, ringgit agak lemah sekitar paras 4.76 hingga 4.78 sedolar sebelum mengukuh kepada 4.74 sedolar pada Khamis.

Ia berkata, mata wang tempatan itu menghadapi tekanan awal berikutan kemerosotan selera risiko pelabur di tengah-tengah penilaian semula menurun pasaran terhadap jangkaan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Namun begitu, usaha bersama oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meningkatkan aliran masuk ke pasaran pertukaran asing (FX) domestik sedikit sebanyak membantu meningkatkan ringgit, bukan saja berbanding dolar AS tetapi juga berbanding rakan setara ASEAN-5.

"Selain itu, minggu ini menyaksikan aliran masuk asing bersih sebanyak RM150 juta ke dalam hutang domestik, didorong oleh kemasukan pelaburan dalam bon korporat," katanya dalam nota penyelidikannya.

Kenanga Research berkata, walaupun perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) teras AS mencatatkan bacaan 0.4 peratus bulan ke bulan (Disember: 0.1 peratus), perbelanjaan peribadi yang mereda mungkin terus menyokong disinflasi dan mengurangkan permintaan agregat, menetapkan peringkat untuk potensi peralihan Fed ke arah pelonggaran pada Jun.

Ia berkata, situasi itu ditambah pula dengan usaha BNM dan kerajaan untuk meningkatkan daya tarikan ringgit, bersama-sama dengan jangkaan status quo dalam kadar dasar semalaman (OPR) minggu depan, mungkin menyokong ringgit untuk didagangkan sekitar 4.73 sedolar.

"Minggu depan, tumpuan sekali lagi akan beralih kepada data pekerjaan AS, dan sebarang tanda kelemahan berkemungkinan menyumbang kepada kelemahan dolar AS dan peningkatan permintaan untuk aset berisiko.

"(Ringgit) mungkin stabil sekitar 4.73 sedolar berikutan tanda-tanda pasaran pekerjaan AS yang semakin reda dan rangsangan domestik," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata angka inflasi PCE di AS sama dengan jangkaan penganalisis ekonomi mendorong pengukuhan ringgit.

Beliau berkata, pernyataan BNM mengatakan ringgit terkurang nilai juga membantu.

Pada Selasa dalam satu kenyataan, Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata ringgit pada masa ini terkurang nilai.

Beliau berkata, memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.

"BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing," katanya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini