Ringgit jatuh berbanding dolar AS, mata wang utama - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh berbanding dolar AS, mata wang utama


KUALA LUMPUR: Ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Rabu meskipun berlaku penurunan terhadap dolar AS berbanding beberapa mata wang utama, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7545/7575 berbanding dolar AS daripada 4.7515/7535 ketika ditutup pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ketika Indeks Dolar AS (DXY) menurun untuk seketika daripada paras teknikal yang ketara pada 105, ia memberi kelebihan kepada mata wang Eropah dan hasil yang lebih tinggi, namun, mata wang Asia seperti ringgit, terus bergelut dalam persekitaran hasil AS yang lebih tinggi.

"Berikutan data pekerjaan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan, hasil 10 tahun AS melonjak kepada 4.40 peratus semalam. Mungkin terdapat sedikit pengurangan dalam selera risiko menjelang penerbitan laporan senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Jumaat, membawa ringgit kepada paras 4.75," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit turut diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding euro kepada 5.1192/1224 daripada 5.1036/1057 ketika ditutup pada Selasa, merosot berbanding pound Britain kepada 5.9769/9807 daripada 5.9717/9742, dan menurun berbandig yen Jepun kepada 3.1329/1351 daripada 3.1326/1339 sebelum itu.

Ringgit diniagakan kebanyakan tinggi berbanding mata wang ASEAN kecuali dolar Singapura.

Ia meningkat berbanding baht Thai kepada 12.9519/12.9653 daripada 12.9659/12.9771 pada Selasa dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/298.9 daripada 298.9/299.1 sebelumnya.

Ringgit juga menokok berbanding peso Filipina pada 8.42/8.43 daripada 8.43/8.44 pada penutup semalam tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5159/5183 daripada 3.5134/5151 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini