Ringgit kembali mengukuh di bawah RM4.70 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Ringgit kembali mengukuh di bawah RM4.70 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga hari ini dengan kembali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas mata wang itu lemah menjelang pengumuman data inflasi negara maju berkenaan pada minggu ini.

Data ekonomi itu akan memberi petunjuk mengenai unjuran berkaitan kadar faedah global, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6940/6990 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7100/7130 pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit berada pada kedudukan lebih kukuh hari ini, seiring dengan prestasi mata wang serantau berbanding dolar AS.

Beliau berkata laporan pada minggu lepas menunjukkan Indeks Sentimen Pengguna AS susut kepada 69.1 mata pada Mei 2024 daripada 77.2 mata pada bulan sebelumnya manakala Indeks Keadaan Ekonomi Semasa dan Jangkaan Pengguna juga masing-masing turun kepada 69.6 (April:79.0) dan 68.8 (April: 76.0).

"Ini membayangkan bahawa pengguna AS menjadi semakin berhati-hati terhadap keadaan ekonomi. Walaupun ini boleh menjadi alasan bagi menurunkan kadar faedah, kebimbangan ketara dalam kalangan ahli Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menyaksikan peserta pasaran lebih berhati-hati terhadap unjuran kadar faedah itu," katanya kepada Bernama.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9919/9953 daripada 2.9996/3.0017 namun susut berbanding euro kepada 5.1005/1059 daripada 5.1000/1032 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9881/9945 daripada 5.9859/9898, sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding mata wang negara-negara anggota ASEAN lain, termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4799/4838 daripada 3.4876/4901 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8132/8321 daripada 12.8373/8507.

Unit tempatan itu juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 292.0/292.5 daripada 294.5/294.7 sebelum ini dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.08/8.09 daripada 8.09/8.10.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini