Ringgit jatuh berikutan kecenderungan AS menaikkan kadar faedah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit jatuh berikutan kecenderungan AS menaikkan kadar faedah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan kebimbangan terhadap pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah, menyokong dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.7140/7185 berbanding dolar AS daripada 4.7035/7070 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mengukuh pada awalnya berbanding dolar AS, mencecah RM4.7068 pada sesi pagi.

"Bagaimanapun, menjelang petang, ringgit menyusut kepada RM4.7145, terutamanya disebabkan kebimbangan pasaran berkenaan kadar faedah AS, berikutan laporan indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) dijadualkan terbit pada Jumaat ini.

"Indeks PCE dijangka sederhana kepada 2.6 peratus pada Mei berdasarkan anggaran konsensus, selepas kekal pada 2.7 peratus sejak dua bulan lalu. Kebimbangan terhadap Fed yang berpotensi meningkatkan kadar faedah menguatkan dolar AS, seterusnya menyebabkan penurunan nilai ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding yen Jepun kepada 2.9459/9489 daripada 2.9513/9537, meningkat berbanding euro kepada 5.0383/0431 daripada 5.0440/0478, tetapi menyusut berbanding pound Britain kepada 5.9722/9779 daripada 5.9687/9732 ketika ditutup semalam.

Pada masa yang sama, ringgit juga mengukuh berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8007/8185 daripada 12.8294/8431, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4746/4782 daripada 3.4763/4792 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.01/8.02 daripada 8.00/8.01.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 287.1/287.6 daripada 287.1/287.5 sebelum itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini