KUALA LUMPUR: Dana pelabur asing mungkin kembali ke pasaran saham tempatan sebaik ringgit mengukuh, demikian menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, menuju ke separuh kedua 2024 dijangka dana pelabur asing kembali ke pasaran saham tempatan berdasarkan unjuran ringgit lebih kukuh berpunca kemungkinan pemotongan kadar faedah AS, selain pandangan dari segi asas pasaran.
"Kami jangka ini menjadi pemacu utama bagi prestasi pasaran saham Malaysia separuh kedua 2024 yang secara berhati-hati kekal memberangsangkan," katanya dalam laporan prestasi pasaran saham separuh 2024.
MIDF Research berkata, sejak kebelakangan ini dana pelabur asing yang mengalir ke dalam pasaran saham tempatan bergerak sejajar prestasi mata wang.
Ia berkata, sejak awal tahun sehingga 14 Mac lalu, dana pelabur asing tidak mengambil kira pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana aliran masuk bersih RM24.5 juta yang dipacu kemasukan bersih pada Januari dan Februari, meskipun nilai mata wang tempatan merosot pada masa itu.
Katanya, ia mungkin disebabkan faktor lain seperti jangkaan pemotongan kadar faedah AS pada permulaan awal tahun ini.
"Bagaimanapun, aliran dana pelabur asing mulai mencerminkan pergerakan ringgit berbanding dolar AS selepas tempoh itu.
"Menganalisis aliran dana pelabur asing dan pergerakan ringgit berbanding dolar AS antara 14 Mac hingga 24 Jun lalu, kami menyaksikan korelasi sebanyak -0.91, menunjukkan terdapat aliran masuk dana asing semasa nilai ringgit meningkat dan sebaliknya," katanya.
Pengukuhan dolar AS berpanjangan semasa separuh pertama 2024, dipengaruhi sentimen kadar faedah tinggi lebih lama seperti diisyaratkan Rizab Persekutuan (Fed).
Namun, ringgit pulih agak ketara daripada paras terendah dalam tempoh 26 tahun pada RM4.805 yang dicatatkan Februari lalu untuk berada pada purata RM4.732 semasa suku kedua 2024, setakat 25 Jun.
MIDF Research berkata, ringgit juga mengatasi prestasi mata wang rakan dagangan utama Malaysia di sebalik kelemahannya berbanding dolar AS dan secara asasnya, ringgit berada dalam kedudukan baik untuk mengukuh tahun ini.
"Perdagangan luar dijangka memulih pada 2024, manakala persekitaran permintaan domestik kekal positif. Harga komoditi juga memihak kepada peningkatan ringgit, manakala trend menggalakkan berlaku dalam harga minyak mentah petroleum dan minyak sawit mentah.
"Dengan ekonomi domestik mengekalkan momentum positif dan Malaysia menjadi pengeksport bersih produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi seperti gas asli cecair (LNG) dan sawit, ringgit akan mendapat manfaat daripada harga komoditi dan lebihan perdagangan yang berterusan.
"Kami mengekalkan unjuran bagi ringgit menutup 2024 lebih tinggi pada RM4.43 berbanding dolar AS," katanya.