KUALA LUMPUR: Jangkaan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) menjelang September ini dilihat akan menyokong pergerakan ringgit dan berpotensi mengukuh ke paras RM4.50 sedolar AS akhir tahun ini, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata jangkaan pengurangan kadar faedah AS akan menyokong nilai ringgit memandangkan perbezaan kadar faedah antara Kadar Dana Persekutuan (FFR) AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mengecil.
Beliau berkata, meskipun rata-rata pihak menjangkakan tiada perubahan dalam keputusan dasar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) minggu ini, namun Fed berkemungkinan mengurangkan kadar faedah pada mesyuarat September ini.
"Justeru, jangkaan pengurangan ini (kadar faedah AS) akan menyokong nilai ringgit disebabkan perbezaan kadar faedah antara FFR dan OPR akan mengecil.
Kami menjangkakan, ringgit berbanding dolar AS akan mencecah RM4.50 pada akhir tahun ini," katanya kepada BH.
Ketika ini, kadar FFR ialah pada paras 5.50 peratus, manakala OPR pula berada pada paras 3.00 peratus.
Sementara itu, AmBank Group dalam nota penyelidikan mengenai pendapatan tetap dan tukaran asing (FX) berkata, ringgit mengukuh di tengah-tengah dolar AS dalam jajaran sempit menjelang keputusan dasar monetari global yang kritikal.
Ia berkata, minggu ini, pihaknya menjangkakan kenaikan ringgit, terutamanya jika Fed mengubah pendiriannya untuk lebih cenderung menurunkan kadar faedah dan data gaji bukan ladang (NFP) AS terus menunjukkan kemajuan yang lebih lemah.
Tinjauan bagi nilai ringgit minggu ini ialah paras rintangan sekitar 4.680/4.700, sementara paras sokongan sekitar 4.595/4.614, menurut nota penyelidikan AmBank Group.
Kenanga Research pula menjangkakan tinjauan ringgit berbanding dolar AS kekal neutral bagi minggu ini dengan mata wang tempatan itu dijangka berlegar sekitar 4.648 hingga 4.690.