BENGALURU: Harga emas berlegar menghampiri rekod tertinggi pada hari Rabu, dipandu oleh jangkaan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) dan ketegangan Asia Barat yang berterusan, manakala tumpuan beralih kepada data inflasi Amerika Syarikat (AS).
Spot emas naik 0.4 peratus kepada $2,474.04 seauns, hampir kepada rekod tertinggi $2,483.60 yang dicatatkan bulan lalu.
Harga pengeluar AS meningkat kurang daripada jangkaan pada bulan Julai, menurut data semalam, menjelang data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS.
Pakar ekonomi menjangkakan harga pengguna meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan pada Julai, dengan inflasi teras tahun ke tahun dilihat perlahan sedikit kepada 3.2 peratus.
Jika data mengesahkan penurunan dalam pertumbuhan harga AS, jangkaan pemotongan kadar 50 mata asas pada September akan meningkat dan harga emas berkemungkinan akan mencapai paras tertinggi dalam sejarah, kata Penganalisis Kanan di ActivTrades, Ricardo Evangelista.
Pasaran pada masa ini melihat peluang 55.5 peratus untuk pemotongan kadar 50 mata asas AS pada bulan depan, menurut CME FedWatch.
Logam berharga secara tradisinya dianggap sebagai lindung nilai terhadap risiko geopolitik dan ekonomi, dan kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos peluang untuk memegang aset tersebut.
"Saya fikir penunjuk ekonomi akan terus memacu pelabur Barat ke arah aset emas," kata Ahli Strategi Pasaran Majlis Emas Dunia, Joseph Cavatoni.
Di Asia Barat, Iran berikrar akan bertindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas akhir bulan lalu.
Israel tidak mengesahkan atau menafikan penglibatannya.
Kebimbangan mengenai kemungkinan serangan Iran ke atas Israel sedang bermain dalam fikiran pelabur dan memenuhi permintaan untuk emas, tambah Evangelista.
Harga spot perak naik 0.3 peratus kepada AS$27.92 dan platinum naik 0.7 peratus kepada AS$942.65.
Palladium meningkat 0.5 peratus pada AS$943.58.