KUALA LUMPUR: Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini dijangka berterusan dengan berpotensi mencecah RM4.20 sedolar menjelang akhir tahun ini, demikian menurut penganalisis.
Jangkaan yang semakin meningkat penurunan kadar faedah AS pada September serta faktor domestik yang positif akan menyokong nilai ringgit yang kini berlegar di paras RM4.34 setakat berita ditulis.
Ringgit hari ini memulakan dagangan lebih kukuh pada RM4.35 berbanding dolar AS, mencecah paras tertinggi hampir 28 bulan.
Paras penutupan tertinggi ringgit sebelum ini ialah 4.3520/3570, dicatatkan pada 29 April 2022.
Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan, ringgit akan mendapat manfaat bukan saja perubahan dalam dasar monetari AS, tetapi juga faktor positif domestik seperti reformasi fiskal yang bertujuan untuk mengurangkan defisit bajet dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh dijangka mencapai 5.0 peratus pada 2024, boleh menyokong mata wang tempatan.
Badan pemikir itu berkata, pelaburan langsung asing yang kukuh, penghantaran pulang dana daripada syarikat berkaitan kerajaan dan lebihan akaun semasa yang mampan didorong eksport yang kukuh dalam elektronik, pelancongan dan perkhidmatan, seterusnya mengukuhkan prospek ringgit.
Katanya, pelaburan asing ke dalam pasaran ekuiti dan bon Malaysia juga adalah satu lagi faktor positif untuk mata wang tempatan.
Jelasnya, selepas mengalami aliran keluar sebanyak RM823.6 juta pada awal tahun, pasaran ekuiti menyaksikan aliran masuk RM1.3 bilion pada Julai, sementara pada separuh masa pertama 2024, aliran masuk asing ke dalam pasaran bon mencecah RM874.6 juta.
"Walaupun ringgit Malaysia kini dinilai rendah, penunjuk seperti Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) dan Kadar Pertukaran Efektif Benar (REER) mencadangkan bahawa nilai saksama ringgit terletak antara RM3.90 dan RM4.20 berbanding dolar AS.
"Menjelang akhir 2024, ringgit boleh meningkat kepada RM4.20 hingga RM4.25 berbanding RM4.59 pada akhir tahun 2023," katanya dalam ulasan ekonomi bulanan bagi Julai 2024.
Jangkaan untuk pengurangan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada September semakin meningkat berikutan meningkatnya kebimbangan kemelesetan selepas data pekerjaan yang mengecewakan pada Julai.
Malah, kadar pengangguran di AS meningkat untuk bulan keempat berturut-turut, mencapai 4.3 peratus, tertinggi sejak September 2021, meningkat daripada paras terendah 50 tahun sebanyak 3.4 peratus pada April 2023.
Gaji bukan ladang AS meningkat hanya 114,000 pekerjaan pada Julai, jauh di bawah purata 215,000 pekerjaan sebulan sepanjang tahun lalu.
Purata minggu kerja juga menurun sedikit kepada 34.2 jam pada Julai berbanding 34.3 jam pada Jun.
Kenyataan Pengerusi Fed AS, Jerome Powell dalam ucaptamanya di persidangan Jackson Hole pada Jumaat lalu, memberi isyarat bahawa kemungkinan pengurangan kadar faedah AS.
Beliau berkata, masa telah tiba untuk membuat pelarasan dasar dan arah perjalanan adalah jelas, sementara masa serta kadar pengurangan kadar akan bergantung pada kemasukan data, tinjauan yang berubah dan keseimbangan risiko.
AmBank Group dalam nota penyelidikannya berkata, berdasarkan kenyataan Powell yang memberi petunjuk kepada pengurangan kadar faedah AS dan andaian dolar AS kekal lemah dalam minggu berikutnya, pihaknya menjangkakan sokongan ringgit yang mampan.
Bagi tinjauan pergerakan ringgit berbanding dolar AS minggu ini, ia menjangkakan, paras sokongan ringgit berbanding dolar AS pada RM4.312 dan RM4.333 dan paras rintangan pada RM4.450 dan RM4.467.
Sementara itu, BIMB Securities dalam satu nota penyelidikan berkata pasaran memberikan reaksi kukuh selepas kenyataan Powell yang menegaskan bahawa masanya telah tiba untuk dasar diselaraskan, dengan sentimen risiko pelabur bertambah manakala dolar AS terus merudum.
"Dalam minggu akan datang, kami percaya ringgit akan diniagakan berhati-hati menjelang penerbitan anggaran kedua pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS dan indeks harga Perbelanjaan Pengguna Peribadi (PCE) teras," katanya.