KUALA LUMPUR: Pengukuhan ringgit dan peningkatan ekonomi domestik memberikan peluang pembelian saham yang baik walaupun terdapat penurunan mendadak harga saham baru-baru ini, kata penganalisis.
Penganalisis CGS International, Chehan Perera berkata, walaupun pasaran global secara jelasnya bimbang mengenai kemelesetan ekonomi yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) ketika ini, adalah penting untuk diteliti beberapa perkara mengenai pasaran Malaysia.
Beliau berkata, sekitar 85 peratus daripada pendapatan syarikat tersenarai, yang bawah pemantauannya ketika ini, adalah didorong oleh domestik dengan hanya 15 peratus adalah berdasarkan kepada faktor luaran.
Hanya syarikat di dalam sektor sarung tangan dan teknologi sahaja katanya yang sangat terdedah kepada pertumbuhan global.
"Keuntungan perladangan mungkin tidak semestinya terjejas oleh kemerosotan besar di AS kerana harga jualan adalah dalam ringgit dan kos baja adalah dalam dolar AS.
"Oleh itu, hanya pendapatan sarung tangan dan teknologi yang berasaskan dolar AS dan terdedah kepada pertumbuhan global," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Perera berkata, beberapa sektor dalam segmen domestik mempunyai kandungan import langsung atau tidak langsung dan hutang berdenominasi dolar.
Beliau berkata, dalam persekitaran peningkatan nilai ringgit, margin kasar harus ditingkatkan selain daripada keuntungan terjemahan dan penjimatan faedah yang berpotensi.
Sektor automotif, media, barangan pilihan dan keperluan pengguna, pembinaan, hartanah, telekomunikasi dan kuasa & utiliti katanya berpeluang untuk mendapat manfaat daripada peningkatan mata wang tempatan.
Katanya, dasar positif dan reformasi, peningkatan pelaburan swasta, pelaksanaan projek infrastruktur sektor awam berskala besar, dan peningkatan perbelanjaan swasta dijangka dapat mengimbangi sebarang kelembapan dalam eksport.
"Dalam laporan tinjauan separuh kedua 2024, kami telah meningkatkan anggaran keseluruhan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 4.6 peratus kepada 5.2 peratus.
"Ramalan untuk penggunaan swasta dan pembentukan modal tetap kasar (yang membentuk sebahagian besar permintaan domestik) adalah lebih kukuh iaitu masing-masing pada 6.9 peratus dan 9.5 peratus, berbanding dengan anggaran 6.5 peratus dan 6.1 peratus pada Disember 2023.
"Ia menunjukkan keyakinan terhadap pertumbuhan permintaan domestik yang berterusan," katanya.