Ringgit mengukuh 3.1 peratus berbanding dolar AS setakat 13 Ogos - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh 3.1 peratus berbanding dolar AS setakat 13 Ogos


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar AS dari awal tahun hingga 13 Ogos lalu, sekali gus muncul satu-satunya mata wang yang mengalami peningkatan di rantau ini.

Pada asas kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit turut menambah nilai sebanyak 5.3 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata hal ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS, yang telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.

"Inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) beserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan

"Semua usaha ini telah menyebabkan aliran yang lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing. Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (FX) telah meningkat kepada AS$18 bilion untuk tempoh 26 Februari hingga 13 Ogos 2024, berbanding AS$15 bilion dari 2 Januari hingga 23 Februari 2024.

"Spread bida-tawar juga lebih kecil, menunjukkan kecairan dalam pasaran domestik FX yang bertambah baik," katanya pada majlis pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2024 di sini, hari ini.

Abdul Rasheed berkata, pada April 2024, BNM telah melancarkan rangka kerja pra-kelulusan pantas perintis dikenali program Pelabur Residen Berkelayakan (QRI) untuk mengurangkan kesukaran korporat yang menghantar pulang dan menukar dana mata wang asing dari pelaburan luar negara dan berusaha untuk melabur semula di luar negara apabila tiba masanya.

Beliau berkata, ia adalah untuk memastikan aliran dua hala dalam pasaran FX.

Katanya, hasil program perintis itu memberangsangkan dengan lebih AS$1 bilion aliran masuk tambahan dilihat memasuki pasaran pertukaran asing domestik.

"Aliran tambahan ini membantu memberikan sokongan kepada prestasi ringgit, menyumbang kepada pemulihan ringgit yang kita perhatikan sejak beberapa bulan ini," katanya.

Abdul Rasheed juga mengumumkan bahawa program QRI rintis itu akan diperluaskan dari sekarang hingga 31 Disember 2024 untuk menerima permohonan daripada korporat pemastautin yang layak yang mempunyai aset pelaburan langsung tertunggak di luar negara (DIA) RM1 bilion dan ke atas.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai program itu boleh didapati di laman web BNM.

Mengulas lanjut pengukuhan ringgit, Abdul Rasheed berkata, beliau melihat pengukuhan ringgit baru-baru ini sebagai satu bentuk pemulihan daripada prestasinya pada masa lalu.

"Ia (ringgit) sedang bergerak ke arah landasan yang tepat dari segi asasnya yang efektif dan prospek ekonomi yang kukuh. Sudah tentu kita melihat sokongan terhadap ringgit adalah positif ketika ini," katanya.

Gabenor bank pusat itu seterusnya berkata, pertumbuhan kredit dalam sektor bukan kewangan swasta meningkat kepada 5.4 peratus pada suku kedua berbanding 5.2 peratus pada suku pertama lalu berikutan pertumbuhan pinjaman terkumpul perniagaan yang lebih tinggi dan bon korporat terkumpul.

"Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan dan pinjaman modal kerja.

"Mengikut sektor, pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan oleh sektor pembinaan dan perkilangan. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul masih berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

"Permintaan bagi pinjaman isi rumah kekal menggalakkan, terutamanya untuk gadai janji," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini