Sentimen positif, dasar kerajaan, inisiatif BNM kukuhkan ringgit - AMRO - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen positif, dasar kerajaan, inisiatif BNM kukuhkan ringgit - AMRO


KUALA LUMPUR: Terdapat pelbagai faktor positif yang akan menyokong momentum pengukuhan ringgit berterusan termasuk inisiatif terselaras kerajaan dan Bank Negara Malysia (BNM) bagi menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing tempatan, kata penganalisis.

Ketua Kumpulan dan Pakar Ekonomi Utama ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO), Dr Runchana Pongsaparn, berkata sentimen terhadap Malaysia dilihat lebih baik berbanding tahun lalu dengan pelaksanaan dasar kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Beliau berkata, inisiatif terselaras oleh kerajaan dan BNM dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berserta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit.

Katanya, prospek ekonomi Malaysia yang baik juga menyokong prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Disiplin fiskal penting untuk menyokong ringgit, namun ia bukan hanya satu-satunya faktor (menyokong). Terdapat pelbagai faktor domestik dan luaran yang menyokong ringgit.

"Perbezaan kadar faedah, sentimen pasaran, prestasi pertumbuhan (ekonomi), keadaan politik dan institusi juga menyokong," katanya pada sesi perbincangan panel mengenai Kemampanan Fiskal: Fakta dan Fiksyen sempena Persidangan Bon dan Sukuk Malaysia anjuran Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai prestasi ringgit serta sama ada terdapat perkaitan antara paras ringgit dari semasa ke semasa dengan konsolidasi fiskal.

Pada April 2024, BNM telah melancarkan rangka kerja prakelulusan pantas perintis dikenali program Pelabur Residen Berkelayakan (QRI) untuk mengurangkan kesukaran korporat yang menghantar pulang dan menukar dana mata wang asing dari pelaburan luar negara dan berusaha untuk melabur semula di luar negara apabila tiba masanya.

Program untuk memastikan aliran dua hala dalam pasaran tukaran asing (FX) itu mencatatkan hasil memberangsangkan dengan lebih AS$1 bilion aliran masuk tambahan dilihat memasuki pasaran pertukaran asing domestik.

Program QRI rintis itu akan diperluaskan hingga 31 Disember 2024 untuk menerima permohonan daripada korporat pemastautin yang layak yang mempunyai aset pelaburan langsung tertunggak di luar negara (DIA) RM1 bilion dan ke atas.

Sementara itu, Pengarah/Ketua Pelaburan Manulife Insurance Bhd, Amar C. Ramachandran, berkata pihaknya menjangkakan trend pengukuhan ringgit akan berterusan berikutan jangkaan pengurangan kadar faedah AS oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada mesyuarat dasar monetarinya bulan depan.

Beliau berkata, terdapat jangkaan Fed AS akan mengurangkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada mesyuarat itu dan 125 mata asas bagi tahun ini.

Katanya, pembaharuan struktur dan kemampanan fiskal akan menjadi berita baik kepada komuniti pelabur.

Setakat 12 tengah hari bagi sesi dagangan hari ini, ringgit berada pada paras RM4.3770 berbanding dolar AS, berlegar di paras tertingginya sejak Februari 2023.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini