KUALA LUMPUR: Nilai saksama ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat berada pada paras antara RM3.90 hingga RM4.20 berdasarkan petunjuk semasa.
Ketua Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Anthony Dass, berkata ia berdasarkan petunjuk seperti Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) dan Kadar Pertukaran Efektif Benar (REER) yang mencadangkan nilai saksama ringgit terletak julat berkenaan.
Katanya, terdapat beberapa faktor pemacu utama kepada ringgit termasuk perbezaan kadar yang semakin mengecil antara Kadar Dana Persekutuan (FFR) di AS dan Kadar Dasar Semalaman (OPR), selain pembaharuan fiskal domestik bagi mengurangkan belanjawan defisit dan kemampanan hutang.
"Kemasukan kukuh pelaburan langsung asing (FDI) dan realisasi pelaburan, aliran masuk pelaburan portfolio yang positif ke dalam ekuiti dan bon, kemampanan pertumbuhan ekonomi dan persekitaran politik yang stabil akan menyokong ringgit," katanya.
Dass berkata, ringgit berpotensi mencecah RM4.20 menjelang akhir tahun ini jika Rizab Persekutuan (Fed) AS mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 100 mata asas.
Beliau berkata, pengurangan 100 mata asas kadar faedah AS dijangka mengecilkan perbezaan kadar antara AS dan OPR kepada 125 hingga 150 mata asas.
Mengenai prospek ekonomi bagi 2024, Dass berkata, terdapat kemungkinan untuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melepasi sasaran rasmi antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi tahun ini.
Beliau berkata, meskipun ekonomi global terus berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan pasaran kewangan tidak menentu, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang utuh.
Katanya, dengan pertumbuhan KDNK negara melebihi jangkaan iaitu meningkat 5.9 peratus pada suku kedua 2024 berbanding 4.2 peratus pada suku pertama 2024 serta penggunaan swasta yang diunjurkan meningkat 5.6 peratus pada 2024, prospek ekonomi negara ini kekal positif.
"Dengan prospek positif dan utuh, kami melihat terdapat potensi untuk agensi penarafan antarabangsa menaikkan penarafan kredit berdaulat negara," katanya.
Pada masa ini, S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dan menetapkan tinjauan 'stabil'.