Ringgit melonjak disokong aliran masuk dana pelabur asing - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit melonjak disokong aliran masuk dana pelabur asing


KUALA LUMPUR: Peningkatan positif yang direkodkan ringgit ketika ini disokong oleh aliran masuk dana asing ke dalam pasaran saham dan bon tempatan, demikian menurut penganalisis.

Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata aliran masuk dana dari luar negara itu adalah berdasarkan keyakinan pelabur dan sentimen risiko berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, selain itu, langkah kerajaan dalam penstrukturan dan memantapkan ekonomi Malaysia juga menjadi faktor utama yang mengukuhkan mata wang tempatan, sehingga mencatatkan kenaikan kira-kira enam peratus berbanding dolar AS setakat tahun ini.

"Ringgit mengukuh di tengah-tengah perkembangan makro yang positif dan prospek yang cerah, jangkaan pemotongan kadar faedah di AS serta reformasi dan penyusunan semula ekonomi domestik.

"Kami menjangkakan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini akan meneruskan penyatuan fiskal dan reformasi," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa

pemulihan nilai ringgit baru-baru ini didorong oleh perubahan jangkaan berhubung dengan kadar faedah dasar yang lebih rendah di ekonomi utama khususnya AS serta prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.

MPC berkata, prospek ekonomi Malaysia yang positif, pembaharuan struktur dalam negeri serta inisiatif yang sedia ada untuk menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Justeru, katanya pada tahap Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi, konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, ringgit didagangkan dalam lingkungan RM4.60 hingga 4.72 berbanding dolar AS sejak pertengahan Mei 2024 hingga Julai 2024 sebelum melonjak kepada 4.32 pada akhir Ogos lalu, daripada paras terendah tahun ini iaitu RM4.80 pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, trend pengukuhan itu berlaku disebabkan campur tangan pasaran pertukaran asing oleh BNM serta komunikasi dan tindakan terkoordinasi oleh bank pusat melalui pelbagai kenyataan dasar monetari serta kenyataan Kementerian Kewangan yang merangkumi langkah-langkah sokongan untuk ringgit.

"Ini termasuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa pulang dan menukarkan pendapatan pertukaran asing serta hasil pelaburan mereka di luar negara," katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata kajian pertukaran asing (FX) Maybank menjangkakan ringgit akan mengakhiri 2024 pada RM4.25 berbanding dolar AS.

"Faktor positif bagi ringgit termasuk prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang bertambah baik, seperti yang dilihat dalam peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar separuh pertama 2024 kepada 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus tempoh sama tahun sebelumnya.

"Ekonomi negara didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan, kitaran pelaburan yang meningkat, pemulihan eksport dan momentum berterusan dalam pemulihan pelancongan pasca pandemik.

"Pada masa yang sama, terdapat kesan daripada prospek kadar faedah AS apabila pasaran memasukkan permulaan kitaran pemotongan kadar faedah Fed bulan ini, iaitu pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 17 hingga 18 Sepember akan datang," katanya.

Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada paras semasa sehingga akhir 2025.

Dalam nota penyelidikannya, CIMB menyatakan bahawa MPC kekal yakin mengenai prospek pertumbuhan Malaysia, khususnya mengenai eksport dan pelaburan.

Public Investment Bank Bhd pula telah menyemak semula unjuran inflasi setahun penuhnya turun kepada 2.0 peratus, mencerminkan purata Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya 1.8 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama.

Ia berkata, pelarasan ini menyumbang kepada kesan inflasi yang minimum daripada pelarasan cukai perkhidmatan, rasionalisasi subsidi diesel, dan penangguhan rasionalisasi subsidi RON95.

"Pendirian neutral BNM dalam kenyataan dasar monetari terbaharunya, bersama risiko sedia ada, mengukuhkan lagi pandangan kami bahawa OPR berkemungkinan kekal tiga peratus sepanjang 2024," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini