KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik di Asia Barat semakin memuncak selepas Iran melancarkan tindakan balas, yang kini menjadikan pasaran minyak global berada dalam keadaan berjaga-jaga.
Dengan serangan itu, pasaran kini menantikan tindak balas daripada Israel, dengan ulang tahun serangan Hamas ke atas Israel yang memasuki tahun pertama.
Menurut laporan CIMB Treasury and Markets Research, ketegangan itu menimbulkan risiko terhadap unjuran harga minyak, terutamanya jika berlaku gangguan ke atas infrastruktur minyak Iran yang menyumbang kira-kira 1.5 juta tong minyak sehari (mbpd) atau di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bagi 30 peratus daripada minyak seaborne dunia dan 20 peratys bekalan gas asli cecair (LNG) global.
"Dalam senario terburuk, jika berlaku gangguan, kita mungkin melihat harga minyak melambung melebihi AS$100 bagi setiap tong. Walaupun OPEC+ memiliki kapasiti simpanan yang mencukupi untuk menangani dislokasi jangka pendek di Iran, konflik yang lebih meluas akan membawa kepada kekurangan bekalan yang mendalam dan pengurangan inventori global," kata laporan berkenaan.
Peningkatan ketegangan ini menyebabkan pelabur melarikan diri kepada dolar AS sebagai tempat selamat, namun pasaran dijangka akan kembali surut dalam beberapa minggu akan datang jika tiada peningkatan ketegangan yang lebih lanjut.
Impak Kewangan di ASEAN
Di peringkat ASEAN, impak daripada lonjakan harga minyak ini lebih ketara terhadap Thailand berbanding Malaysia dan Indonesia, disebabkan kebergantungan tinggi negara itu terhadap import tenaga dan subsidi melalui Dana Minyak. Setiap kenaikan USD10 bagi setiap tong minyak akan memberikan impak inflasi yang lebih besar di Thailand (+0.4 mata peratusan) berbanding Malaysia (+0.1 mata peratusan) dan Indonesia (+0.1 mata peratusan).
Laporan juga menyatakan bahawa bagi setiap lonjakan harga minyak, Malaysia yang telah melaksanakan rasionalisasi subsidi tahun lalu, dapat mengurangkan impak fiskal kepada -0.2% daripada KDNK berbanding Thailand dan Indonesia yang masing-masing dijangka mengalami peningkatan defisit sebanyak 0.3% daripada KDNK.
Masa Depan Harga Minyak
Menyusuri kehadiran OPEC+, langkah seterusnya dalam pengeluaran minyak akan diputuskan pada 1 Disember, dan dijangka OPEC+ akan meningkatkan pengeluaran mereka pada bulan tersebut untuk menstabilkan harga. Namun, risiko geopolitik yang meningkat akan terus memberikan sokongan kepada harga minyak, walaupun ketidakstabilan dijangka akan berterusan dengan perkembangan berita yang sentiasa berubah.
Dengan semua ini, ketegangan geopolitik dan potensi lonjakan harga minyak menjadikan situasi ini penting untuk diperhatikan oleh pelabur dan penganalisis di seluruh dunia.