Konflik Asia Barat lonjak harga emas kepada RM360 segram - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Konflik Asia Barat lonjak harga emas kepada RM360 segram


MUMBAI: Harga emas meningkat hari ini, disokong oleh permintaan terhadap aset selamat ekoran konflik di Asia Barat, selain tumpuan beralih kepada laporan gaji di Amerika Syarikat (AS) untuk menilai hala tuju dasar Rizab Persekutuan (Fed).

Harga spot emas meningkat 0.3 peratus kepada AS$2,662.72 (RM11,224.40) seauns atau RM360.86 segram pada 0649 GMT, selepas mencapai paras tertinggi dalam sejarah sebanyak AS$2,685.42 (RM11,320.10) atau RM363.93 segram pada 26 September lalu.

Harga emas mencatatkan kenaikan 0.2 peratus sepanjang minggu ini.

Niaga hadapan emas AS naik 0.2 peratus kepada AS$2,682.90 (RM11,309.50) atau RM363.60 segram.

Dolar AS turun 0.2 peratus, susut daripada paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan, menjadikan emas yang dinilai dalam mata wang negara maju itu lebih murah bagi pemegang mata wang lain.

Ketegangan geopolitik, terutamanya berkaitan Israel dan Iran, menyokong harga emas, dan selagi risiko ini tidak reda, harga mungkin kekal pada paras menghampiri puncaknya, kata Pengarah Kedia Commodities, Ajay Kedia.

AS sedang membincangkan serangan terhadap kemudahan minyak Iran sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu Tehran terhadap Israel, kata Presiden Joe Biden, manakala tentera Israel melancarkan serangan udara baharu di Beirut dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata Hezbollah di Lubnan.

Emas dianggap sebagai pelaburan selamat semasa ketidakpastian politik dan kewangan, dan berkembang dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.

Presiden Fed New York, John Williams dan Presiden Fed Chicago, Austan Goolsbee, juga dijadualkan berucap lewat hari ini.

Peniaga melihat kebarangkalian sebanyak 65 peratus untuk pengurangan kadar 25 mata asas oleh Fed pada November, menurut FedWatch CME.

BMI dalam satu nota penyelidikan berkata, ia menjangka harga emas akan diniagakan dalam julat AS$2,500 (RM10,538.50) atau RM338.80 segram hingga AS$2,800 (RM11,803.10) atau RM379.46 segram dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini