Pengambilan untung jejas momentum kenaikan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pengambilan untung jejas momentum kenaikan ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa berikutan pengambilan untung selepas kenaikan ketara baru-baru ini, sejajar dengan mata wang serantau lain, apabila AS memberi isyarat pengurangan kadar faedah yang lebih rendah pada masa depan.

Pada jam 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.1530/1610 berbanding dolar AS, turun daripada 4.1210/1280 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi rendah itu susulan kenyataan terbaru oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell.

Powell meyakinkan pasaran bahawa pelonggaran monetari akan berterusan namun, Fed tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar itu dengan pantas, katanya.

Mohd Afzanizam menjangkakan, Fed mengekalkan kadar pengurangan lazim sebanyak sukuan mata semasa mesyuaratnya bulan depan berbanding jangkaan pengurangan sebelum ini sebanyak 50 mata asas lagi.

"Memandangkan ringgit meningkat ketara dalam beberapa hari kebelakangan ini, peniaga mengambil peluang untuk mendapatkan sedikit keuntungan. Selain itu, peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat boleh meningkatkan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS," katanya.

Ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound sterling, apabila turun kepada 5.5335/5441 daripada 5.5193/5260.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun, ditutup pada 2.8892/8950 daripada 2.8899/8936 pada Isnin, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6078/6166 daripada 4.6106/6162.

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang domestik meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7412/7716 daripada 12.8037/8248 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/273.7 daripada 272.1/272.6.

Ringgit lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2269/2334 daripada 3.2175/2217 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.39/7.41 daripada 7.35/7.37.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini