KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dijangka terus tertekan dalam tempoh terdekat, didorong oleh isyarat dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed) yang semakin 'kurang dovish' serta ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
Menurut Kenanga Research & Investment (Kenanga Research), ringgit awalnya mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan pada Isnin, iaitu 4.12 berbanding dolar AS, sebelum susut ketara kepada 4.22 semalam.
'Kurang dovish' dalam hal ini bermakna kepada pendekatan yang tidak cenderung menyokong kadar faedah rendah atau langkah rangsangan ekonomi bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pekerjaan.
"Lonjakan sementara nilai ringgit minggu lalu didorong oleh laporan inflasi AS yang lebih lemah daripada jangkaan serta langkah rangsangan ekonomi oleh China.
"Namun, pengukuhan dolar AS kembali selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell menolak jangkaan penurunan kadar faedah sebanyak 50 mata asas sebelum akhir tahun.
"Dolar AS turut mendapat permintaan sebagai aset selamat berikutan ketegangan yang meningkat di rantau Israel, Hezbollah, Hamas, dan Iran," katanya.
Kenanga Research menambah meskipun laporan tuntutan pengangguran AS lebih tinggi sedikit daripada jangkaan, aktiviti sektor perkhidmatan AS yang lebih pesat menunjukkan ekonomi negara itu masih kukuh.
"Pasaran masih menjangka dua kali pengurangan kadar faedah pada tahun ini, termasuk sekurang-kurangnya satu penurunan 50 mata asas.
"Bagaimanapun, sekiranya Fed mengambil pendirian yang kurang dovish, dolar AS dijangka terus mengukuh, kecuali terdapat kejutan besar dalam data ekonomi AS," katanya.
Selain itu, perhatian kini tertumpu pada laporan gaji bukan ladang AS yang dijangka memenuhi jangkaan pasaran, sementara minggu depan bakal menyaksikan data inflasi teras dan minit mesyuarat FOMC.
"Selain itu, ketegangan di Asia Barat juga boleh meningkatkan sentimen risiko yang lebih memihak kepada dolar AS.
"Faktor domestik mungkin masih menyokong ringgit secara sederhana, tetapi dolar yang lebih kukuh dijangka mengekalkan tekanan ke atas mata wang tempatan.
"Ringgit berkemungkinan akan didagangkan dalam julat antara 4.23 dan 4.25 dalam masa terdekat," katanya.