KUALA LUMPUR: Ringgit dan rupiah jatuh ke paras terendah dalam tempoh beberapa minggu di tengah-tengah situasi kelembapan mata wang Asia.
Ini disebabkan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif meredakan jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) dan pertaruhan kemenangan Donald Trump dalam pemilihan presiden mengukuhkan dolar AS.
Ringgit jatuh 0.4 peratus ke paras terendah sejak awal September dan berada di landasan untuk mencatat prestasi bulanan terburuk sejak akhir 2016.
Niaga hadapan minyak sawit Malaysia jatuh untuk sesi kedua berturut-turut, manakala harga minyak merosot lebih empat peratus.
Penurunan eksport yang tidak dijangka baru-baru ini dan lebihan dagangan yang semakin melebar memberi tekanan kepada ringgit.
Penganalisis Barclays menjangkakan ringgit akan kekal terdedah kepada risiko pilihan raya AS dan percaya bahawa bank pusat Malaysia itu mungkin berhenti menambah rizab pertukaran asing di tengah-tengah kekuatan dolar AS.
Rupiah pula jatuh sebanyak 0.6 peratus ke paras terendah sejak pertengahan Ogos dan menuju ke penurunan bulanan terbesar sejak Mac 2020.
Dolar AS pula dijangka mencatat kenaikan bulanan tertinggi dalam sekitar dua setengah tahun disebabkan oleh peningkatan hasil AS.
Data ekonomi yang kukuh membawa kepada kemungkinan Fed tidak akan memotong kadar faedah pada bulan hadapan seperti yang dijangkakan oleh pelabur sebelum ini, sekali gus mengurangkan daya tarikan hasil mata wang pasaran sedang membangun.
Pasaran kini menjangkakan hampir tiada peluang pemotongan sebanyak 50 mata asas oleh Fed pada mesyuarat November, berbanding hampir 50 peratus peluang yang dilihat sebulan lalu, menurut FedWatch CME.
Aset dan dolar AS masih mendominasi, dan ini pastinya salah satu pendorong utama di sebalik pergerakan mata wang, dengan itu daya tarikan relatif bagi pelbagai aset, menurut penganalisis mata wang kanan di MUFG, Michael Wan.
"Namun, jika China mengeluarkan rangsangan ekonomi yang bermakna, atau jika kisah seperti ledakan cip kecerdasan buatan (AI) atau perkembangan semikonduktor mendapat perhatian, ini juga boleh mengubah daya tarikan aset Asia," katanya.