Ringgit kekal di paras RM4.30 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal di paras RM4.30 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pasaran kekal berhati-hati terhadap perkembangan geopolitik yang melanda Asia Barat manakala Indeks Dolar AS (DXY) kekal mendapat sokongan yang baik.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3045/3100 berbanding dolar AS daripada 4.3045/3075 semasa ditutup pada Jumaat lalu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit berada dalam julat kecil berbanding dolar AS semasa dagangan hari ini pada sekitar 4.2970 hingga 4.3070.

Beliau berkata, People's Bank of China telah menurunkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas hari ini, menunjukkan pihak berkuasa komited untuk memastikan ekonomi mendapat sokongan yang baik selepas pertumbuhan pada suku ketiga berakhir 2024 yang mencapai 4.6 peratus daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya.

Di peringkat domestik, katanya, ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi positif, dengan anggaran awal keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2024 menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus.

"Sektor pembinaan melonjak 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus sebelum ini manakala sektor pembuatan berkembang pada 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku sebelumnya.

"Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal berhati-hati berikutan risiko geopolitik di Asia Barat yang telah memastikan DXY menerima sokongan yang baik," katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8685/8724 daripada 2.8708/8730 pada Jumaat lepas dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.6040/6112 daripada 5.6109/6148.

Bagaimanapun, ia susut berbanding euro kepada 4.6687/6746 daripada 4.6674/6706 semasa ditutup pada Jumaat.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat daripada baht Thailand kepada 12.8719/8945 daripada 12.9579/9916, mengukuh daripada dolar Singapura kepada 3.2776/2821 daripada 3.2791/2817 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.6/278.1 daripada 278.3/2.1 sebelumnya.

Ia tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.49 daripada semasa ditutup pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini