KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi hari Jumaat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan permintaan merosot terhadap mata wang AS itu.
Pada jam 6 petang Jumaat, unit tempatan meningkat kepada 4.3405/3450 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3455/3510 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen pasaran terus terkawal ketika dunia bersiap sedia menunggu pilihan raya presiden AS dalam tempoh kurang daripada dua minggu lagi.
"Persaingan antara Kamala Harris (calon Parti Demokrat) dan Donald Trump (calon Parti Republikan) sangat sengit, terutamanya di negeri-negeri yang menjadi penentu penting kepada keputusan pilihan raya," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8554/8586 daripada 2.8589/8627 pada Khamis tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.6348/6407 daripada 5.6331/6402 dan turun berbanding euro kepada 4.6977/7026 daripada 4.6918/6978 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.45 daripada 7.49/7.51 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2870/2907 daripada 3.2928/2972.
Ringgit juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 277.3/277.8 daripada paras penutup 278.8/279.3 pada Khamis dan menokok berbanding baht Thai kepada 12.8425/8619 daripada 12.9031/9259.