'SINGAPURA: Bitcoin melonjak ke paras rekod tertinggi lebih AS$81,000 apabila kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) bersama-sama calon menyokong kripto yang diundi ke Kongres mendorong jangkaan terhadap persekitaran kawal selia yang lebih mesra.
Bitcoin, mata wang kripto terbesar dan paling terkenal di dunia, meningkat lebih sekali ganda daripada paras terendah tahun ini sebanyak AS$38,505 yang dicapainya pada 23 Januari.
Paras akhir dilihat sekitar AS$80,829 pada waktu Asia setelah mencecah rekod tertinggi AS$81,464 pada awal sesi.
Mata wang kripto yang lebih kecil, Ether meningkat melebihi AS$3,200 buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan. Ia kali terakhir berada pada paras AS$3,192.
Industri mata wang kripto membelanjakan lebih AS$119 juta untuk menyokong calon Kongres AS yang pro-kripto dengan harapan supaya undang-undang mesra kripto diluluskan bagi mempromosikan aset digital.
Usaha itu berjaya minggu lalu, dengan ramai calon pilihan industri memenangi perlumbaan mereka, berpotensi untuk memulakan Kongres yang bersedia memperjuangkan kripto.
"Bitcoin dipacu (kemenangan) Trump kukuh... dengan Republikan berada di puncak untuk mengambil alih (Rumah Putih) mengesahkan gelombang merah dalam kongres, nampaknya khalayak kripto menjangkakan nyah kawal selia mata wang digital," kata Penganalisis Kanan Pasaran City Index, Matt Simpson.
"Namun ini kelihatan seperti keyakinan 'buta' di pihak mereka, memandangkan perhatian Trump nampaknya tertumpu pada pengusiran, pengampunan dan dekonstruksi umum dasar era Biden," katanya.