TOKYO: Dolar Amerika Syarikat (AS) melonjak sekitar 1.5 peratus berbanding yen dan euro hari ini apabila peniaga menimbang implikasi belanjawan daripada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden AS.
Dolar AS naik 1.51 peratus berbanding mata wang Jepun untuk diniagakan pada 153.89 yen pada sekitar 0245 GMT dan melonjak 1.41 peratus kepada hampir 0.93 euro.
Penganalisis berkata, Rizab Persekutuan (Fed) AS berkemungkinan kecil untuk mengurangkan kadar faedah secara agresif di bawah dasar belanjawan Trump.
Bekas presiden Republikan itu bersaing menentang Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris untuk menduduki Rumah Putih.
Pengundian secara beransur-ansur ditutup di seluruh AS pada waktu pagi di Asia, dengan malam yang panjang menunggu keputusan dijangka.
'Pasaran mula bertaruh kepada kepulangan Trump', dengan margin lebih besar daripada ramalan di Florida, kata Ketua Strategi di Daiwa Securities, Yugo Tsuboi, yang dipetik oleh Bloomberg News.
Pelabur telah mengambil kedudukan menjelang pilihan raya, dengan mendapati persaingan terlalu sengit antara kedua-dua calon.
Penganalisis berkata, terdapat juga perhatian yang diberikan kepada persaingan Kongres, sambil menambah bahawa kemenangan beaar untuk Trump dan Republikan mungkin akan meningkatkan hasil dolarAS dan Perbendaharaan disebabkan rancangannya untuk mengurangkan cukai dan mengenakan tarif ke atas import.