Harga minyak dunia dijangka lebih rendah tahun depan - MARC Ratings - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak dunia dijangka lebih rendah tahun depan - MARC Ratings


KUALA LUMPUR: Harga minyak dijangka lebih rendah pada 2025 dalam julat antara AS$65 hingga AS$75 setong berbanding unjuran purata AS$80 setong pada tahun ini, demikian menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings).

Agensi penarafan itu walau bagaimanapun berkata, terdapat risiko harga minyak meningkat termasuk konflik geopolitik yang berterusan membabitkan pembekal minyak utama, prestasi ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran berterusan oleh anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+).

"Meskipun OPEC+ menurunkan pengeluaran, pertumbuhan yang perlahan dan risiko geopolitik yang mereda menyebabkan harga minyak Brent berada di bawah AS$80 setong sejak suku ketiga 2024," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ia berkata, dalam jangka masa pendek, harga minyak berpotensi turun naik dengan berlaku lonjakan baru-baru ini, mencerminkan ketidakstabilan yang semakin meningkat di Asia Barat membabitkan Selat Hormuz, laluan transit penting untuk kira-kira satu perlima daripada permintaan minyak global.

"Gangguan dalam pengeluaran atau di sepanjang laluan transit boleh mencetuskan lonjakan mendadak dalam harga minyak mentah. Berdasarkan anggaran kami, pengurangan 10 peratus dalam bekalan minyak berpotensi memacu harga sehingga 12 peratus," katanya.

Dari segi permintaan, agensi penarafan itu melihat pelonggaran berterusan kadar faedah global, khususnya di AS, akan menggiatkan semula aktiviti pembuatan dan melemahkan dolar pada 2025.

Namun, ini bergantung kepada pergerakan hasil bon, yang dipengaruhi oleh peralihan dasar AS berkaitan perbelanjaan awam dan permintaan global untuk minyak mentah, walaupun kadar dan skala pemulihan ini akan kekal tidak menentu.

Mengenai prestasi makroekonomi pada 2024, ia dijangka lebih lemah daripada jangkaan dan kadar faedah yang tinggi telah mengekang permintaan, dengan pertumbuhan penggunaan global menurun kepada 1.0 peratus.

China, selaku pengimport terbesar dunia, menyaksikan importnya menyusut sebanyak 3.5 peratus sepanjang 10 bulan pertama 2024.

Mengenai pengeluaran, MARC Ratings berkata minyak mentah global dan bahan api cecair lain diunjurkan meningkat sebanyak 2.0 peratus pada 2025, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pengeluaran dari AS, dengan pengeluaran dijangka berkembang sebanyak 2.3 peratus, menurut data daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (IEA).

Ia berkata, pertumbuhan ini sejajar dengan dasar Republikan yang mengutamakan keterjaminan tenaga.

Selain itu, katanya OPEC+ merancang untuk mula mengurangkan pemotongan pengeluarannya pada akhir Disember 2024, meningkatkan bekalan ke pasaran.

"Oleh itu, pengeluaran yang tinggi secara berterusan, ditambah pula dengan kebimbangan lebihan bekalan, dijangka memberi tekanan ke bawah pada harga, tanpa mengambil kira sebarang gangguan geopolitik yang ketara," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini