Pasaran saham AS catat paras tertinggi susulan kemenangan Trump - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pasaran saham AS catat paras tertinggi susulan kemenangan Trump


NEW YORK: Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tertinggi susulan kemenangan calon Republikan, Donald Trump dalam pilihan raya presiden 2024, yang menandakan kepulangannya ke Rumah Putih.

Indeks Dow Jones Industrial Average meningkat 1,508.05 mata atau 3.57 peratus kepada 43,729.93. S&P 500 menambah 146.28 mata atau 2.53 peratus kepada 5,929.04.

Indeks Komposit Nasdaq meningkat 544.29 mata atau 2.95 peratus kepada 18,983.47, lapor agensi berita Xinhua.

Lapan daripada 11 sektor utama S&P 500 berakhir dengan warna hijau, dengan kewangan dan industri mendahului kaunter untung dengan menambah 6.16 peratus dan 3.93 peratus.

Sementara itu, hartanah dan barangan keperluan pengguna mendahului sektor yang paling lemah dengan masing-masing kehilangan 2.64 peratus dan 1.57 peratus.

Kemenangan Trump mencetuskan kenaikan ketara dalam apa yang dipanggil 'dagangan Trump' dengan meningkatkan hasil Perbendaharaan AS secara mendadak, mendorong bitcoin ke paras tertinggi baharu melebihi AS$75,000, dan menolak dolar AS ke arah kenaikan terbesar dalam sehari sejak September 2022.

Saham yang dilihat menguntungkan di bawah pentadbiran Trump turut mencatatkan kenaikan, menurut Xinhua dengan Trump Media & Technology Group meningkat 5.94 peratus dan Tesla melonjak hampir 15 peratus apabila CEO Tesla Elon Musk menunjukkan sokongan kepada Trump.

Syarikat mata wang kripto, firma tenaga, dan pengendali penjara mencatatkan keuntungan besar, manakala saham dalam syarikat tenaga boleh diperbaharui merosot.

"Hakikat bahawa kami mendapat keputusan yang bersih, tanpa sebarang pertikaian atau kes mahkamah yang boleh berlaku, adalah satu kelegaan kepada pasaran," kata Ross Mayfield, penganalisis strategi pelaburan di Baird di Louisville, Kentucky.

Ahli strategi Goldman Sachs mengekalkan sasaran indeks S&P 500 selama 12 bulan mereka sebanyak 6,300 mata susulan kemenangan Trump dalam pilihan raya untuk ke Rumah Putih pada Rabu.

"Pertumbuhan pendapatan yang kukuh dijangka akan terus mendorong peningkatan pasaran ekuiti ke tahun hadapan," tulis Ketua Ahli Strategi Ekuiti AS Goldman, David Kostin dan pasukannya.

Sementara itu, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menurunkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas dalam mesyuaratnya yang berakhir hari ini, walaupun peniaga telah mengurangkan jangkaan untuk pemotongan tambahan pada Disember dan tahun depan, menurut Alat FedWatch CME.

Di peringkat korporat, Nvidia mencatat rekod tertinggi pada Rabu, meningkat 4.07 peratus apabila indeks utama meningkat sebagai reaksi kepada kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden."

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini