KUALA LUMPUR: Ringgit terus berada di kedudukan lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ditutup tinggi pada Selasa selepas mengalami penurunan baru-baru ini, apabila pasaran menjangkakan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kata pakar ekonomi.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3415/3505 berbanding dolar AS daripada 4.3715/3765 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Bank Negara Malaysia (BNM) secara umumnya dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali gus memberikan sokongan selanjutnya kepada ringgit.
"Akhirnya, jurang antara kedua-dua kadar (Fed dan BNM) akan menjadikan ringgit kelihatan lebih menarik buat masa ini," katanya kepada Bernama.
Pasaran menjangkakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 dan 7 November ini mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM juga dijadualkan pada tempoh yang hampir sama, 5 dan 6 November.
Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran nampaknya bersiap sedia untuk menghadapi kebuntuan politik, mendorong pelabur mengurangkan pegangan -- keadaan ini lebih jelas berbanding AS$/MYR yang terlebih beli.
"Sekiranya mengalami kebuntuan politik -- Presiden tanpa sokongan Kongres -- peringkat untuk perubahan dasar secara menyeluruh akan reda dengan ketara, terutama dalam dagangan pertukaran mata wang asing.
"Ini mungkin sebabnya kita melihat kenaikan ringgit hari ini. Jika Kongres mengalami kebuntuan, perubahan ekonomi secara berani mungkin tidak berlaku, memberi kelegaan kepada ringgit bagi jangka masa pendek," katanya.
Beliau berkata, dalam jangka masa pendek, hala tuju pergerakan ringgit akan banyak bergantung kepada keputusan pilihan raya AS, dengan esok mungkin menjadi hari yang penting.
Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit mencatatkan prestasi tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit domestik naik berbanding pound kepada 5.6361/6478 daripada 5.6707/6772 ketika ditutup semalam, dan tinggi berbanding yen kepada 2.8525/8586 daripada 2.8775/8810.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7283/7381 daripada 4.7636/7691 semalam.
Ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit tempatan lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 275.6/276.3 daripada 277.5/277.9 semasa ditutup semalam, dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2953/3023 daripada 3.3185/3226.
Ringgit lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 12.9165/9491 daripada 12.9664/9882, dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.46 daripada 7.49/7.50 semalam.