KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila peniaga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat.
Keputusan dasar FOMC biasanya diumumkan pada hari kedua mesyuarat (hari ini), diikuti sidang media oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell, yang dijangka memberikan pandangan lanjut mengenai strategi Fed pada masa hadapan.
Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4670/4725 berbanding dolar AS daripada 4.4645/4690 pada penutup Selasa.
Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran secara meluas menjangkakan penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Fed bulan ini, yang mungkin memberikan sedikit sokongan kepada ringgit.
"Bagaimanapun, ketidaktentuan besar menyelubungi dasar monetari masa depan disebabkan potensi kesan inflasi daripada kenaikan tarif oleh pentadbiran Donald Trump yang bakal memegang jawatan.
"Tindakan sedemikian mungkin memaksa Fed memperlahankan kadar pemotongan kadar faedah pada tahun 2025, sekali gus mencabar prestasi ringgit," katanya kepada Bernama.
Menurut Innes, ringgit didagangkan dalam julat sempit hari ini, mencerminkan aktiviti pasaran yang perlahan.
Ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia lemah berbanding pound British kepada 5.6673/6743 daripada 5.6646/6703, turun berbanding euro kepada 4.6877/6934 daripada 4.6815/6862, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9074/9112 daripada 2.9028/9059 sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3045/3088 daripada 3.3048/3087 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.57/7.58 daripada 7.58/7.59 pada penutupan semalam.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0378/0618 daripada 13.0236/0440 dan lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 277.4/277.9 daripada 277.2/277.6 pada Selasa.