KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini berikutan sentimen pelabur yang berhati-hati terhadap inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dan menantikan kemas kini dasar bank pusat global.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4320/4480 berbanding dolar AS daripada 4.4420/4465 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen terhadap Indeks Dolar AS (DXY) rendah berikutan tuntutan pengangguran awal minggu lepas yang meningkat kepada 223,000 berbanding anggaran konsensus sebanyak 221,000.
"Keutamaan yang jelas untuk penurunan kadar faedah oleh Presiden AS dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) tidak mengejutkan.
"Ini akan menjadikan tugas Rizab Persekutuan (Fed) AS lebih mudah berikutan bank pusat AS telah melaksanakan pelonggaran monetari sejak September lepas. Ia adalah mengenai tempoh dan tahap penurunan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam percaya peniaga dan pelabur akan kekal berhati-hati dan menjangka ringgit akan diniagakan pada sekitar RM4.44 hingga RM4.45 berbanding dolar AS hari ini.
Ringgit turut menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding mata wang utama lain pada sesi pembukaan.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8388/8495 daripada 2.8429/8461, mengukuh berbanding euro kepada 4.6155/6321 daripada 4.6246/6293, namun susut sedikit berbanding pound kepada 5.4735/4933 daripada 5.4703/4759.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/273.2 daripada 272.7/273.1, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.55/7.58 daripada 7.57/7.58, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0250/0835 daripada 13.0582/0779 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2648/2776 daripada 3.2734/2770.