KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat prestasi positif berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mengakhiri 2024 sebagai mata wang Asia dan pasaran baru muncul terbaik sepanjang tahun ini.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Anthony Dass, berkata ringgit menunjukkan prestasi yang memberangsangkan berbanding dolar AS sepanjang 2024 selepas mengukuh 14.4 peratus pada September, menjadikannya antara mata wang dengan prestasi terbaik di peringkat global.
Beliau berkata, faktor utama mempengaruhi turun naik ringgit pada 2024 termasuk kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi kukuh yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, mendorong aliran masuk modal dan permintaan terhadap mata wang tempatan.
"Dari awal tahun hingga penutup 2024, ringgit mencatatkan kenaikan sekitar 11.4 peratus berbanding dolar AS.
"Secara keseluruhan, prestasi positif ringgit pada 2024 didorong oleh kombinasi faktor domestik dan global, termasuk kestabilan politik, dasar monetari yang berhati-hati, harga komoditi yang menguntungkan dan sentimen pasaran yang positif terhadap ekonomi Malaysia," katanya kepada BH.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi ringgit dilihat begitu memberangsangkan tahun ini meskipun berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan pasaran.
"Cabaran utama adalah jangkaan pengurangan kadar faedah di AS yang mana pada suku pertama dan kedua tahun nilai ringgit dinilai mencecah paras RM4.8000 pada Februari dan April disebabkan kadar inflasi di AS yang masih tinggi.
"Namun, situasi ini berubah pada suku ketiga apabila kadar inflasi AS merosot dan terdapat tanda-tanda ekonomi AS yang melemah sehingga mendorong nilai ringgit mengukuh ke paras RM4.1235 pada akhir September 2024.
"Ringgit telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan berbanding dolar AS di Asia dan negara membangun dengan kenaikan tertinggi iaitu 2.76 peratus dan diikuti oleh dolar Hong Kong 0.61 peratus dan baht Thailand 0.13 peratus," katanya.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit berdepan turun naik selepas suku ketiga apabila ekonomi AS dilihat masih kukuh dengan kadar inflasi negara itu dilihat sukar untuk mencecah paras sasaran 2.0 peratus.
Katanya, cabaran bertambah dengan faktor kemenangan Donald Trump pada Pilihanraya Presiden AS pada 5 November yang menyebabkan ringgit mula menyusut kembali ke paras RM4.5060 pada 20 Disember sebelum kembali pulih di bawah paras RM4.50 pada penghujung 2024 sebelum berakhir pada RM4.4725 hari ini.
"Faktor luaran banyak mempengaruhi nilai ringgit. Namun, tidak dinafikan bahawa faktor dalaman juga memainkan peranan melalui kestabilan politik serta pelaksanaan dasar ekonomi dengan lebih konsisten membantu menarik minat pelabur asing datang dan membeli instrumen pelaburan seperti ekuiti dan bon.
"Dasar ekonomi yang jelas serta dilaksanakan secara konsisten boleh meningkatkan daya saing negara dalam tempoh sederhana dan jangka panjang," katanya.
Beliau menjelaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 3.0 peratus sehingga 2025, dengan situasi itu seharusnya membantu menaikkan nilai ringgit.