KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia berpotensi mencatatkan pengukuhan paling besar dalam kalangan negara Asia Tenggara sekiranya syarikat pengeksport tempatan menukarkan pendapatan mereka dalam mata wang asing kepada ringgit, demikian menurut laporan agensi berita Bloomberg.
Bloomberg melaporkan, Malaysia kini memiliki jumlah deposit mata wang asing yang besar, menjadikannya negara dengan kelebihan terbesar untuk meraih manfaat daripada penukaran semula hasil eksport ke dalam mata wang tempatan.
Gabungan deposit asing di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia meningkat kepada AS$62.2 bilion (RM264.4 bilion) setakat Mac lalu, hampir menyamai paras tertinggi yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, berdasarkan perkiraan Bloomberg. Daripada jumlah itu, Malaysia menyumbang hampir keseluruhannya, selain mencatatkan pertumbuhan deposit asing yang mengatasi kebanyakan rakan serantau lain.
Fenomena pertambahan deposit asing ini semakin mendapat perhatian pelabur, yang memantau petunjuk kemungkinan syarikat-syarikat menukarkannya kepada mata wang tempatan. Ini berikutan persepsi pasaran terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin lemah, susulan kebimbangan terhadap dasar fiskal dan prospek ekonomi negara itu.
Tindakan besar-besaran oleh pengeksport Taiwan yang menjual pegangan dolar mereka sebelum ini juga membantu dolar Taiwan mencatatkan lonjakan harian tertinggi sejak 1988.
"Sekiranya penyusutan dolar AS terus meningkat, ia mungkin mendorong pengeksport bergegas menjual pegangan dolar mereka. Kitaran ini, jika berlaku, boleh menyebabkan pengukuhan mata wang tempatan secara berlebihan," kata Christopher Wong, pakar strategi pertukaran asing kanan di Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) seperti yang dilaporkan Bloomberg.
Ketika ini, kebanyakan mata wang utama Asia Tenggara telah melonjak ke paras tertinggi tahun ini, didorong penyusutan dolar AS dan sentimen pasaran yang bertambah baik berikutan gencatan sementara perdagangan antara AS dan China.
Walaupun pengukuhan mata wang tempatan secara berlebihan mungkin menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa, sedikit peningkatan nilai boleh dialu-alukan kerana ia membantu membuka ruang kepada pelonggaran dasar monetari menerusi pemotongan kadar faedah, dengan mengurangkan tekanan susut nilai mata wang.
Setakat ini, ringgit muncul sebagai mata wang kedua paling mengukuh dalam kalangan pasaran sedang membangun Asia Tenggara dengan peningkatan sebanyak lima peratus. Sebelum ini, pihak berkuasa Malaysia turut menggesa pengeksport menukarkan pendapatan mereka kepada ringgit dengan lebih segera bagi menyokong kekukuhan mata wang tempatan.
Data terkini Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan deposit asing negara meningkat kepada 10.6 peratus daripada jumlah keseluruhan setakat Mac, iaitu 1.6 sisihan piawai lebih tinggi berbanding purata lima tahun. Angka sama bagi Thailand, Filipina dan Indonesia masing-masing adalah 2, 1.3 dan 1.1 sisihan piawai.
Pelabur Asia Tenggara sebelum ini giat melabur dalam aset berdenominasi dolar AS susulan kadar pulangan yang tinggi daripada aset tersebut.
Kitaran kenaikan kadar faedah agresif oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 2022 dan 2023 menyebabkan kadar dana Fed mencecah 5.50 peratus — lebih tinggi daripada kadar dasar monetari di Thailand dan Malaysia. Selain itu, pulangan pertukaran mata wang juga menarik, dengan Indeks Spot Dolar Bloomberg melonjak 10.5 peratus dalam tempoh lima tahun hingga akhir 2024.
Meskipun kebimbangan melampau terhadap aset dolar dilihat reda sejak April lalu — apabila bekas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif balas yang mencetuskan keraguan terhadap kebebasan Fed — dasar fiskal AS yang longgar terus membuatkan pelabur menjauhi dolar.
"Pengeksport Asia seharusnya meneruskan penukaran dolar mereka kepada mata wang tempatan, selepas bertahun-tahun mengumpul deposit dalam dolar," kata penganalisis Goldman Sachs Group Inc, Danny Suwanapruti dalam nota penyelidikan minggu lalu seperti dipetik Bloomberg.
Menurut bank pelaburan itu, ringgit, dolar Singapura, won Korea dan dolar Taiwan dijangka menjadi pilihan sekiranya perjanjian perdagangan dimeterai, yuan mengukuh kepada tujuh bagi setiap dolar AS, dan pengeksport terus menjual dolar mereka.