BENGALURU: Mata wang negara sedang membangun di Asia meningkat untuk sesi kedua berturut-turut selepas dolar Amerika Syarikat (AS) melemah, sementara pasaran saham kekurangan hala tuju disebabkan pelabur mencari petunjuk lebih lanjut mengenai kemajuan dalam perjanjian perdagangan.
Ringgit meningkat sehingga 0.6 peratus, mendahului kenaikan negara serantau lain, manakala dolar Singapura, baht Thailand dan peso Filipina, masing-masing menambah antara 0.1 hingga 0.5 peratus.
Dolar AS menurun sedikit berbanding mata wang utama lain selepas Presiden AS, Donald Trump gagal mendapatkan sokongan dari ahli Republikan untuk meluluskan rang undang-undang cukainya.
"Ia disebabkan gabungan halangan jangka pendek dan jangka panjang untuk dolar AS," kata Penganalisis Pasaran Kewangan Kanan di Capital.com, Kyle Rodda.
"Terdapat pergerakan (di paras margin) untuk mengurangkan pendedahan kepada aset AS disebabkan kehilangan keyakinan terhadap institusi AS. Dolar AS terus bergerak lebih rendah dan saya fikir ini mempunyai asas kitaran dan struktur."
Ringgit kekal kira-kira 2.5 peratus di bawah paras tertinggi beberapa bulan yang dicapainya pada awal bulan ini walaupun meningkat dalam empat daripada enam sesi terakhir, termasuk kenaikan hari ini.
Sementara itu, dolar Taiwan dan won Korea Selatan masing-masing menambah 0.1 dan 0.7 peratus.
Tarif timbal balas Trump dijangka dilaksanakan semula pada awal Julai, memaksa perunding di seluruh dunia tergesa-gesa untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan ekonomi terbesar dunia.
Laporan terkini sedikit sebanyak memberi rangsangan dengan Perbendaharaan AS dilaporkan berkata ia tidak menjangka sebarang pengumuman perjanjian perdagangan ketika mesyuarat pemimpin kewangan G7 minggu ini di Kanada.
Sementara itu, harga minyak meningkat selepas laporan CNN menyebut Israel mungkin sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, berdasarkan risikan baru dari AS.
Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia adalah pengimport bersih minyak, kini sedang menghadapi isu penurunan pengeluaran, sebaliknya penggunaan domestik pula meningkat.