Ringgit menuju RM3.81 berbanding dolar AS, paras tertinggi sejak 2005 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menuju RM3.81 berbanding dolar AS, paras tertinggi sejak 2005


PETALING JAYA: Ringgit terus didagangkan di bawah RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berpotensi mencapai RM3.81 sedolar AS, paras tertinggi sejak dasar tambatan ringgit dimansuhkan pada Julai 2005.

Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup pada 4.0900/4.0950 berbanding 4.0880/4.0930 pada Jumaat lalu.

Bagi mata wang serantau, ringgit mengukuh sebanyak 0.0245/0.0246 berbanding rupiah Indonesia daripada 0.0246/0.0246 pada Jumaat, namun jatuh sedikit berbanding dolar Singapura 3.1701/3.1752 daripada 3.1651/3.1699, yen Jepun 2.6353/2.6387 berbanding 2.6229/2.6264 dan baht Thailand pada 12.9924/13.0207 berbanding 12.9265/12.9484.

Dari awal tahun hingga kini, mata wang negara mengukuh sebanyak 8.67 peratus berbanding dolar AS.

Ringgit turut menokok berbanding yen dan rupiah, masing-masing sebanyak 8.13 peratus dan 10.87 peratus dari Januari hingga kini.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit kemungkinan kembali kepada nilai puratanya sekitar RM3.81 berbanding dolar AS, sejak dasar tambatan ringgit dimansuhkan pada Julai 2005, dipacu dasar fiskal kerajaan yang berdisiplin.

Katanya, faktor utama mendorong pengukuhan termasuk prospek penurunan kadar faedah di AS yang dijangka terus berlaku pada 2026 terutamanya apabila tampuk pimpinan Fed AS bakal diterajui oleh pengerusi baharu pada pertengahan tahun hadapan.

“Selain itu, dasar fiskal kerajaan persekutuan Malaysia yang berdisiplin telah menarik minat para pelabur asing yang terus mencatatkan belian bersih dalam instrumen seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia, sukuk serta bon-bon korporat.

“Ini disokong pula dengan imbangan dagangan yang kekal mencatatkan lebihan dagangan yang menandakan kemasukan dana ke dalam negara.

“Justeru, amat penting untuk memastikan dasar ekonomi yang bersifat reformis serta pelaksanaan reformasi institusi diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, langkah seperti ini akan dapat meningkatkan keyakinan para pelabur dan golongan peniaga serta rakyat Malaysia melalui ketelusan dan tatakelola yang jelas.

“Apabila ketirisan dapat dihapuskan, setiap ringgit yang dibelanjakan akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang berkualiti. Semua ini akan dapat meningkatkan permintaan ringgit pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, aliran pengukuhan ringgit ini didorong terutamanya oleh pemotongan kadar faedah oleh AS minggu lalu.

Katanya, ia turut merubah aliran pasaran kewangan dari bon perbendaharaan AS kepada pasaran ekuiti di seluruh dunia termasuk Malaysia, nilai dolar AS yang melemah bukan sahaja berbanding dengan ringgit tetapi juga dengan mata wang lain.

Index DXY yang mengukur kekuatan dolar AS dengan enam mata wang dunia yang lain menyusut 0.86 peratus berbanding minggu lalu kepada 98.3mata. Data-data ekonomi AS juga tidak diluar jangkaan dan kekal perlahan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi mengunjurkan ringgit kekal diatas RM4.0 tahun ini dan stabil antara RM4.10 ke RM4.08 sahaja.

“Peningkatan tertinggi mungkin sekitar RM4.06 kerana berbaki beberapa minggu sahaja lagi tahun ini dan ramai para pengurus dana dan peniaga tidak lagi aktif dan telah menutup portfolio masing-masing,” jelasnya. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini