Ringgit ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejajar dengan mata wang negara sedang pesat membangun susulan berita bahawa Sidang Kemuncak Amerika Syarikat (AS)-Korea Utara akan diadakan minggu depan, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan berada pada paras 3.9700/9740 daripada 3.9770/9800 pada Jumaat minggu lalu.

Peniaga itu berkata sekiranya hasil daripada sidang kemuncak tersebut positif, ia akan memastikan kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

Presiden AS Donald Trump, yang pada bulan lepas membatalkan sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berkata pada Jumaat lalu bahawa sidang kemuncak itu yang akan diadakan di Singapura akan diteruskan.

Mengenai perkembangan lain, Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata ringgit kekal agak sepi dalam pasaran mata wang walaupun aliran keluar dana telah berkurangan, mengurangkan sedikit tekanan ke atas mata wang tempatan itu.

"Ketika ini permintaan terhadap ringgit berkurangan disebabkan oleh kurangnya penglibatan asing dalam pasaran tempatan. Mata wang tempatan memerlukan rangsangan," kata Innes kepada Bernama.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 5.3146/3208 daripada 5.2902/2946 pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.6564/6619 daripada 4.6551/6594 sebelumnya.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9747/9781 daripada 2.9728/9761 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.6213/6259 daripada 3.6393/6430 pada Jumaat minggu lalu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini