Ringgit catat paras terendah 2018



KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini mencecah paras terendahnya tahun ini, dipengaruhi penurunan harga minyak dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS).

Secara keseluruhannya, mata wang tempatan itu menjejaki kelemahan mata wang Asia lain selepas Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell mengeluarkan kenyataan optimis berhubung keadaan ekonomi negara itu.

Perkembangan berkenaan sekali gus meningkatkan lagi jangkaan kadar faedah di AS akan dinaikkan lagi untuk beberapa kali pada tahun ini.

Pada testimoni Kongres yang diperhatikan dengan penuh minat oleh pelabur, Powell berkata beliau melihat AS berada pada landasan terbaik untuk mencatatkan pertumbuhan stabil dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau juga secara umumnya tidak menyentuh mengenai risiko yang berkaitan dengan perang perdagangan antara AS dan China.

Kebimbangan mengenai perang perdagangan dua kuasa ekonomi itu ketika ini terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, dengan kedua-dua negara membuat aduan balas di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas mengenakan tarif serta mengancam untuk mengenakan tarif baharu ke atas barangan bernilai berbilion dolar.

Sementara itu, harga minyak dunia semalam jatuh dengan berita kenaikan inventori minyak mentah AS minggu lalu.

Perkembangan itu bertentangan dengan jangkaan penganalisis yang mengunjurkan inventori akan susut dengan banyak, sambil kebimbangan mengenai permintaan yang lemah turut muncul semula.

Dalam masa sama, terdapat kurang faktor domestik yang boleh memacu peningkatan ringgit apabila pentadbiran baharu masih lagi belum memberikan butiran yang lebih terperinci mengenai langkah untuk mengurangkan paras hutang negara.

Ringgit pagi tadi meneruskan penurunan buat hari kedua-dua apabila dibuka rendah berbanding dolar AS.

Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.0530/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0485 semasa ditutup pada Selasa, sebelum ditutup pada 4.0600/4.0630 petang ini.

Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata testimoni Powell ditunggu-tunggu oleh pelabur dengan indeks Dow meningkat buat hari keempat berturut-turut, manakala Nasdaq mencecah paras tertinggi baharu.

"Selain itu, perang perdagangan yang semakin berkurangan telah memberi ruang kepada pelabur untuk menumpukan kepada pendapatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Asia ANZ, Khoon Goh berkata testimoni yang dibuat oleh Powell membuatkan dolar mengukuh semalaman.

"Berikutan itu, kita menyaksikan mata wang Asia menyusut hari ini (semalam)," katanya dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini