Ringgit ditutup tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit Malaysia ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini disokong oleh minat belian yang memberi rangsangan kepada mata wang tempatan itu selepas ia berada dalam keadaan terlebih jualan pada Jumaat minggu lalu, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.0400/0450 berbanding dolar AS daripada 4.0500/0530 yang dicatatkan pada paras penutup Jumaat minggu lalu.
Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata pasaran mata wang agak lengang apabila pelabur lebih memilih untuk membeli bagi menampung kekurangan menjelang pengumuman Indeks Harga Pengguna Malaysia pada Rabu ini.
"Data ini penting, memandangkan pendirian neutral Bank Negara Malaysia (BNM) pada minggu lalu (mengenai dasar monetari).
"Bagaimanapun, pasaran menjangkakan inflasi turun ke paras 1.7 peratus susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan yang berkadar sifar, yang tidak akan mengubah pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar faedah utama itu buat sementara waktu ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengenai berita China telah memfailkan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia hari ini berkaitan cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bagi mengenakan satu lagi kenaikan tarif ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion, Innes berkata, ia dijangka tidak akan mengubah hasrat AS itu.
Berbanding kumpulan mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah kecuali berbanding yen.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9671/9716 daripada 2.9620/9651 pada Jumaat minggu lalu, susut berbanding euro kepada 4.7284/7359 daripada 4.7122/7161 dan jatuh berbanding pound British kepada 5.3591/3669 daripada 5.3189/3236.
Bagaimanapun, ia meningkat berbanding yen kepada 3.5943/5991 daripada 3.6006/6043.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini