Ringgit dibuka pada paras terendah dalam tempoh lapan bulan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka pada paras terendah dalam tempoh lapan bulan



KUALA LUMPUR: Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini, mencecah paras terendah dalam tempoh lapan bulan dengan ketegangan yang meningkat antara Washington dan Ankara.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan pada 4.0970/1000 berbanding dolar AS daripada 4.0950/1000 semasa ditutup semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Nazri Khan Adam Khan berkata pelabur kini bimbang mengenai keadaan itu yang memberi kesan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun.

"Malaysia akan terjejas berikutan kita adalah rakan dagang penting Turki, dengan negara itu menjadi ekonomi ke-18 terbesar di dunia. Bagaimanapun, prestasi ringgit (rendah) disebabkan faktor luaran, bukan domestik," katanya.

Semalam, Turki membuat tindakan balas dengan memboikot produk elektronik dari AS selepas Washington mengenakan sekatan dan kenaikan tarif ke atas Ankara berikutan penahanan seorang paderi AS.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9714/9747 daripada 2.9795/9851 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6787/6818 daripada 3.6909/6964.

Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.2061/2107 daripada 5.2330/2410 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6435/6486 daripada 4.6699/6769.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini