Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kekurangan minat belian serta penutupan pasaran lebih awal bagi minggu ini, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.1080/1110 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1080 pada Rabu.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata sentimen positif susulan perjanjian baharu berkaitan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dilihat semakin reda hari ini, manakala mata wang Asia lain menjejaki renminbi China untuk turut ditutup rendah.

“Ringgit kekal dibeli semasa rendah memandangkan kebanyakan tindakan spekulatif adalah pembelian dolar. Walaupun pasaran bon agak kukuh namun pelabur tidak menyertai pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia pada 5 September, untuk mendapatkan petunjuk hala tuju pasaran,” katanya.

Sementara itu, nota tempatan diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0073/1100 daripada 3.0047/0080 pada Rabu dan susut berbanding euro kepada 4.8055/8099 daripada 4.7914/7957.

Mata wang tempatan lemah berbanding pound Britain kepada 5.3462/3525 daripada 5.2897/294 namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6820/6863 daripada 3.6909/6946.

Pasaran tukaran asing Malaysia akan ditutup esok bagi cuti umum sempena Hari Kebangsaan dan akan beroperasi semula pada Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini