Ringgit berpotensi cecah 4.10 akhir tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit berpotensi cecah 4.10 akhir tahun



KUALA LUMPUR 16 Sept. - Ringgit mempunyai ruang untuk mengatasi sasaran akhir tahun pada 4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tetapi dijangka tidak terlalu lemah.

Menurut RHB Research Institute Sdn. Bhd., unjuran itu berdasarkan kedudukan Malaysia yang terus mencatatkan lebihan dalam akaun semasanya dalam imbangan pembayaran.

Institut penyelidikan itu berpendapat walaupun dasar kawalan pertukaran asing yang memerlukan pengeksport me­nukar 75 peratus daripada perolehan kepada ringgit dilonggarkan, ia masih menyediakan aliran biasa terhadap permintaan perdagangan wang bagi mata wang berkenaan.

“Ia seterusnya akan mengurangkan aliran keluar modal dan memberikan sokongan kepada ringgit.

“Meskipun terdapat perubahan dalam kerajaan, pentadbiran baharu terus komited untuk mengekalkan defisit bajetnya sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini,” katanya dalam Laporan Tinjauan Ekonomi RHB di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, lebihan akaun semasa Malaysia meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi turun naik dalam pasaran kewangan.

Jelas RHB Research Institute, di sebalik kedudukan fiskal defisit negara, ia mencatatkan lebihan dalam akaun semasa mereka dan ringgit yang berdaya tahan.

Tambahnya, ringgit sememangnya lebih berdaya tahan berbanding tiga insiden utama sebelum ini yang menyebabkan aliran keluar modal secara besar-besaran dan mata wang lemah.

“Insiden pertama semasa krisis kewangan global antara April 2008 dan Mac 2009 di­sebabkan oleh krisis kredit subprima AS, manakala insiden kedua semasa tantrum tirus Rizab Persekutuan AS antara Julai 2014 dan Ogos 2015.

“Insiden ketiga dalam tempoh Ogos 2016-Mac 2017, apabila Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden AS dan wujud jangkaan beliau akan memperkenalkan dasar rangsangan,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini