Pelabur ambil untung selepas ringgit cecah paras terkuat dalam hampir enam tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelabur ambil untung selepas ringgit cecah paras terkuat dalam hampir enam tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan aktiviti pengambilan untung serta ketiadaan pemangkin pasaran baharu.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0770/0800 berbanding dolar AS daripada 4.0740/0785 pada penutupan Jumaat lalu, ketika ringgit mencecah paras terkuatnya dalam hampir enam tahun.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit memerlukan satu pemangkin untuk terus mengukuh.

"Ringgit berlegar dalam julat sempit antara RM4.0750 dan RM4.0813 hari ini. Mungkin pedagang dan pelabur sedang menilai paras semasa ringgit serta bagaimana ia boleh berkembang pada masa hadapan," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, pedagang turut memerhati data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku ketiga 2025 yang dijangka diumumkan pada 23 Disember.

Pada penutupan dagangan, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7827/7862 daripada 4.7715/7767 pada penutupan Jumaat lalu, melemah berbanding pound Britain kepada 5.4750/4790 daripada 5.4514/4574, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5896/5916 daripada 2.5909/5940.

Mata wang tempatan didagangkan bercampur-campur berbanding rakan serantau ASEAN.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1592/1618 daripada 3.1515/1553, melemah berbanding baht Thailand kepada 13.0740/0895 daripada 12.9428/9620, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 242.9/243.3 daripada 243.2/243.6 sebelum ini, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.94/6.95.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini