Ringgit dijangka kekal paras semasa minggu depan



RINGGIT dijangka diniagakan pada paras semasa 4.1280 dengan kecenderungan untuk mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, kata peniaga.

Ini berlaku ketika hala tuju pasaran lebih tertumpu kepada pengumuman data ekonomi dan pergerakan mata wang di sekitar pasaran negara sedang pesat membangun.


Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran Global FXTM, Jameel Ahmad berkata antara tumpuan utama adalah pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Rizab Persekutuan AS dan Laporan Inflasi Malaysia, minggu depan.

“Ada laporan data ekonomi satu peringkat dengan jumlah dagangan lebih rendah minggu depan. Ini hanya meningkatkan kemungkinan hala tuju pergerakan pasaran kewangan akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran.

"Sebarang perkembangan membabitkan perang perdagangan dan risiko politik adalah dua penyebab ketidaktentuan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pasaran sedang pesat membangun berharap laporan media pada akhir minggu ini berkisar bahawa China menyambut baik pelawaan AS mengadakan rundingan baharu yang merupakan pemangkin penting bagi menarik balik selera risiko pelabur, kata Jameel.

“Sekiranya berlaku sebarang perkembangan positif, ini akan mempengaruhi pelabur untuk kembali ke pasaran sedang pesat membangun. Ini bermakna, permintaan belian bagi ringgit Malaysia dan mata wang serantau akan turut pulih," katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.1280/1320 berbanding dolar AS daripada 4.1370/1400, sebelum ini.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat  berbanding yen Jepun kepada 3.6609/6654 daripada 3.6997/6037 sebelumnya dan susut berbanding euro kepada 4.8607/8679 daripada 4.8390/8446, sebelum ini.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0271/0304 daripada 3.0208/0241 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4428/4501 daripada 5.4282/4338. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini