BANGALORE 21 Sept. - Mata wang Asia kembali mengukuh dalam tempoh tiga hari berturut-turut, disokong oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dan sejauh mana perang dagangan antara China dan AS memberi kesan kepada permintaan global dan ekonomi serantau yang bergantung kepada eksport.
Selasa lalu, AS mengenakan 10 peratus tarif bernilai AS$200 bilion (RM826.1 bilion) terhadap import dari China yang menyaksikan tindak balas China mengenakan levi AS$60 bilion (RM247.38 bilion) ke atas produk AS.
Bagaimanapun, kadar permulaan tarif yang dikenakan kedua-dua negara adalah rendah berbanding jangkaan, manakala AS melengahkan pelaksanaannya kepada beberapa bulan lagi, memberi tamparan hebat kepada ekonomi global.
Ia menyaksikan indeks dolar jatuh lebih daripada satu peratus minggu ini, dengan penganalisis berpendapat aliran pelaburan sedang beralih daripada dolar AS kepada pasaran serantau seperti mata wang ekonomi baharu muncul memandangkan ketegangan perdagangan semakin menguncup.
Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda di Singapura, Stephen Innes berkata, faktor paling ketara yang menambah kelemahan dolar AS ialah kejatuhan dalam sekuriti selepas China bercadang tidak menjadikan yuan sebagai senjata dalam perang dagangan.
“Risiko serantau masih stabil disokong oleh pasaran ekuiti global yang berkembang pesat, dolar AS yang lebih lemah dan berita positif mengenai pemimpin Korea Utara, Kim Jung-un yang mahu mengadakan sidang kemuncak kedua dengan Presiden Donald Trump,” katanya.
Dalam pada itu, India juga mempertimbangkan untuk meminta bank pusat menawarkan dolar AS secara terus kepada syarikat pemasaran minyak dan mungkin mengumumkan pengurangan pada import barangan ‘tidak penting’ untuk menampan rupee.
Semalam, Kementerian Kewangan Indonesia berkata, kerajaan berusaha untuk meyakinkan pasaran eksport supaya menyimpan hasil di luar pesisir mereka dan menukarnya dalam mata wang tempatan.
Data daripada bank pusat serantau menunjukkan rizab tukaran asing susut dalam tempoh tiga bulan lalu, mencerminkan usaha mereka untuk mengelakkan penurunan dalam mata wang.
Mata wang serantau jatuh mendadak disebabkan kebimbangan dalam perang dagangan dan juga isu di Turki serta ketidaktentuan dalam pasaran ekonomi baharu muncul sejak beberapa bulan lalu.
Menurut laporan Bank MUFG, penurunan berterusan dalam kebanyakan rizab Asia (kecuali Jepun) mungkin disebabkan oleh beberapa perkara terutama menjelang pilihan raya umum dan pemilihan Presiden di Thailand, Indonesia dan India pada tahun hadapan.