Ringgit dalam aliran menurun berbanding Dolar US minggu depan



KUALA LUMPUR 20 Okt.- Ringgit dijangka dalam aliran menurun berbanding dolar US minggu depan berikutan prospek kenaikan kadar faedah negara tersebut.

Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata, dengan dolar US yang disokong kuat oleh jangkaan kenaikan kadar faedah, ringgit mempunyai skop untuk diniaga ke paras 4.17 berbanding dolar US dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, faktor luaran seperti kebimbangan mengenai perang perdagangan dan pertumbuhan global turut menjejaskan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Otunuga berkata, Malaysia tidak bersendirian dalam hal ini kerana banyak negara membangun lain, termasuk China terjejas oleh ketegangan perdagangan.

Sependapat dengan Otunuga, Ketua Perdagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk kerana “tren penyusutan” yuan China dijangka tiba bila-bila masa sahaja.

Dilaporkan bahawa yuan merosot kepada paras terendah dalam tempoh 22 bulan berbanding dolar US pada Khamis selepas Perbendaharaan AS enggan melabel China sebagai manipulator mata wang di tengah-tengah perang tarif yang semakin meningkat antara dua gergasi ekonomi tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa mata wang serantau, termasuk ringgit pasti akan menjadi tebusan kepada pergerakan asas yuan, yang mungkin menjadi tenaga disruptif kepada sentimen tempatan (Malaysia),” tambah Innes.

Untuk minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dolar US, terutama dipengaruhi oleh ketegangan perdagangan yang berterusan antara AS dan China, kajian semula separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 dan minit mesyuarat terbaru Rizab Persekutuan AS yang memberi isyarat kepada lebih banyak kenaikan kadar faedah pada masa depan.

 Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu merosot kepada 4.1560/1600 berbanding dolar US daripada 4.1530/1560.

Berbanding sekumpulan mata wang utama lain, ringgit bagaimanapun diniaga keseluruhannya lebih tinggi.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0129/0169 daripada 3.0149/0175 Jumaat lepas, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4132/4205 daripada 5.4861/4917 dan menokok berbanding euro kepada 4.7619/7674 daripada 4.8092/8139 sebelumnya.

Berbanding yen Jepun, ringgit jatuh kepada 3.6982/7027 daripada 3.6971/7008 Jumaat lepas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini