Petang Jumaat,ringgit ditutup pa­­­da paras RM4.1730 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan tekanan momentum jualan dan pasaran saham global yang masih tidak menentu.
Ketidaktentuan ini terus memberi kesan risiko kepada ekonomi global yang menyebabkan pelabur lebih keberatan untuk membawa aset dalam pasaran ekonomi baharu muncul, jelas Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidik Pasaran FXTM Global, Jameel Ahmad.
“Ini adalah faktor utama di sebalik kelemahan yang dilihat dalam mata wang pasaran baharu muncul dan mengapa ringgit mencapai tahap terendah dalam tempoh 11 bulan berban-ding dolar AS. Sekiranya pelabur masih tidak terbuka untuk menerima risiko, ia menyebabkan prospek ringgit akan terus menyusut,” katanya.
Menurut beliau, ketidaktentuan pasaran global, pengukuhan dolar AS dan faktor luaran yang sukar diramal adalah faktor yang perlu dihadapi pasaran baharu muncul secara keseluruhan.
Katanya, ini menyebabkan pres­tasi ringgit pada minggu depan bergantung kepada sejauh mana pasaran saham dunia mampu berdepan dengan ketidaktentuan dan juga kekuatan dalam pasaran global.
“Jika kebimbangan berterusan dalam jualan pasaran global, kemungkinan besar pelabur kurang berminat terhadap ringgit dalam pasaran baharu muncul. Ini berisiko dan boleh melonjak ringgit hingga mencecah RM4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.
“Ketika ini, kekuatan dolar AS dan ketidaktentuan pasaran global akan terus menekan ringgit ke paras tersebut berbanding kembali semula kepada RM4.15 berbanding dolar AS,” katanya.
Dalam kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) 22 Oktober lalu, rizab antarabangsa turun 0.19 peratus kepada AS$102.8 bilion (RM426.1 bilion) pada 15 Oktober berbanding AS$103 bili­on pada 28 September lalu selepas mengambil kira perubahan dalam penilaian.
Kedudukan rizab terkini itu memadai untuk membiayai 7.3 bulan import tertangguh dan 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Bagaimanapun, menurut MIDF Research, ringgit kekal berada dalam momentum pemulihan dengan berlegar secara purata pada RM4 berbanding dolar AS dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Malah, katanya, dalam tempoh ini, prestasi ringgit adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan purata RM4.30 berbanding dolar AS dan mengekalkan unjuran ringgit akan berlegar pada purata RM4 sepanjang tahun ini.
“Berdasarkan kadar pertumbuhan, ringgit mengukuh berbanding mata wang lain terma-suk dolar AS, dolar Australia, euro dan dolar Singapura. Bagi tempoh sembilan bulan ini, ringgit mengukuh 10.2 peratus, 1.5 peratus dan 5.1 peratus berbanding dolar AS, dolar Australia, euro dan dolar Singapura.
“Untuk tempoh sama tahun lalu, ringgit menyusut 8.9 peratus, 5.6 peratus dan 4.7 peratus berbanding mata wang tersebut. Kestabilan politik, mengurangkan tekanan inflasi, asas ekonomi yang kukuh dan kenaikan harga tenaga global antara faktor yang menyumbang kepada pengukuhan ringgit,” katanya dalam nota kajian.
Dalam pada itu, firma penyelidikan Hong Leong IB Research berkata, sentimen dalam pasaran tempatan masih kekal suram dengan tekanan jualan dan para pelabur masih ternantikan hala tuju yang lebih jelas pada pembentangan Bajet 2019, minggu depan sebelum memperluaskan penglibatan mereka dalam pasaran saham.
“Walaupun peserta pasaran kembali kepada pasaran saham tetapi ia mungkin dalam tempoh singkat kerana kebimbangan perang dagangan dan juga kemungkinan kenaikan kadar faedah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.