Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut hari ini berikutan kekurangan momentum belian selain seiring dengan sentimen ke atas mata wang negara pesat membangun lain, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1830/1860 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 ketika ditutup pada Selasa.

Penganalisis berkata mata wang negara pesat membangun bersedia untuk kekal menjadi sasaran penjual memandangkan situasi geopolitik telah menjejaskan minat risiko pelabur.

“Minat belian yang diperbaharu dan meningkat terhadap dolar AS akan menjadi cabaran bagi beberapa pasaran pesat membangun.

“Dolar AS yang hampir mencecah paras tertinggi baharu bagi 2018, menjadi faktor utama di sebalik kelemahan ringgit pada Rabu,” katanya.

Peniaga lain berkata, kebanyakan peserta pasaran memilih untuk tidak memasuki pasaran menjelang pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat ini.

Ringgit bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0176/0209 daripada 3.0194/0236 pada Selasa, dan naik berbanding euro kepada 4.7414/7465 daripada 4.7497/7560.

Mata wang tempatan turut kukuh berbanding pound Britain kepada 5.3262/3317 daripada 5.3349/3417 pada Selasa dan stabil berbanding yen kepada 3.6969/6005 daripada 3.7050/7095.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini