Ringgit ditutup tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi



KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup lebih kukuh hari ini, menjejaki peningkatan pasaran saham tempatan di hadapan kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

Pada jam 6 petang, mata wang itu meningkat kepada 4.1490/1530 berbanding dolar AS daripada 4.1515/1555 yang dicatatkan semalam.

Menurut peniaga, sentimen risiko pelabur dilihat bertambah baik selepas ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi mula mereda, dan ia dapat dilihat di seluruh pasaran ekuiti global, termasuk Bursa Malaysia.

"Ketenangan dalam pasaran yang semakin meningkat, memulihkan keyakinan pelabur dalam saham-saham serta mata wang pasaran baru muncul dan ini telah mengimbangi kebimbangan para pelabur mengenai kajian separuh penggal RMK-11 sebelum ini," katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa beberapa peserta melahirkan kebimbangan khususnya di hadapan kajian separuh penggal RMK-11 dan memilih pendekatan untuk tunggu dan lihat sebelum melabur di dalam negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata bahawa kajian separuh penggal akan menumpukan usaha bagi memulihkan keyakinan pelabur.

Pada penutup, ringgit telah didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali dolar Singapura.

Ringgit menokok berbanding yen Jepun kepada 3.6965/7011 daripada 3.7027/7070, meningkat berbanding pound British kepada 5.4522/4591 daripada 5.4804/4861, manakala berbanding euro, ia melonjak kepada 4.7987/8046 daripada 4.8041/8096 sebelum ini.

Ia bagaimanapun menyusut berbanding dolar Singapura, turun kepada 3.0177/0212 daripada 3.0153/0189.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini