Bitcoin cecah paras terendah, jatuh 25% dalam seminggu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Bitcoin cecah paras terendah, jatuh 25% dalam seminggu


Bitcoin mencecah paras terendah tahun ini, menjunam 10 peratus kepada AS$4,300 (RM18,049) pada Selasa sekali gus mengheret mata wang digital itu jatuh 25 peratus dalam tempoh seminggu.

Mata wang digital lain yang lebih kecil turut menerima kesan daripada penjualan besar-besaran mata wang kripto.

Bitcoin mencecah paras AS$4,327 (RM18,162), terendah sejak Oktober 2017. Pada tengah hari, mata wang itu didagangkan pada AS$4,750 (RM19,938) di platform pertukaran Bitstamp.

XRP Ripple dan ether Etereum, mata wang kedua dan ketiga terbesar masing-masing jatuh 14 dan 16 peratus.

Kejatuhan itu juga selari dengan kelemahan pasaran kewangan. Saham Eropah menjunam akibat keputusan runcit yang lemah dan kelembapan Apple Inc. yang mengheret jatuh Wall Street.

Bitcoin telah kehilangan lebih 75 peratus nilainya pada tahun ini daripada paras tertinggi AS$20,000 (RM83,950) pada Disember tahun lalu.

Peniaga pasaran menyalahkan kejatuhan itu kepada jualan besar-besaran di platform pertukaran di Asia seperti OKEx dan Bitmex yang berpangkalan di Hong Kong.

Beberapa platform pertukaran di Barat memberi pinjaman kepada para peniaga sekali gus menyebabkan Asia popular sebagai destinasi spekulator.

Sebahagian besar pelabur telah menjauhi bitcoin kerana kebimbangan terhadap pengawalseliaan, ketiadaan infrastruktur di pasaran kurang membangun, selain harganya yang kerap berubah.

Kurangnya penyertaan menyebabkan bitcoin bergelut untuk memenuhi harapannya sebagai sesuatu yang akan merevolusikan dunia kewangan.

Kadar penggunaannya sebagai mata wang untuk pembayaran juga merosot pada tahun ini.

Namun pada masa sama, kejatuhan harga bitcoin telah meredakan kebimbangan para pengawal selia dan bank pusat bahawa mata wang digital itu mungkin menyebabkan risiko kepada kestabilan kewangan.

Menurut penjejak industri Coinmarketcap.com, nilai keseluruhan mata wang kripto kini sekitar AS$154 bilion (RM646 bilion), jatuh daripada paras tertinggi AS$800 bilion (RM3.358 trilion) pada Januari lalu.

Bagaimanapun, penyokong mata wang kripto berkata, bitcoin masih baharu dan turun naik harga itu telah dijangkakan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini