Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS



RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan lemah terhadap mata wang tempatan, didorong oleh ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada jam 9.00 pagi, ringgit berada pada 4.1900/1950 berbanding dolar AS daripada 4.1860/1900 pada Isnin.


Ketua Dagangan Asia Pasifik Oanda, Stephen Innes berkata walaupun rundingan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijadualkan di Argentina pada hujung minggu ini, AS dijangka tidak menangguhkan kenaikan tarif yang dicadangkan kepada 25 peratus ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion.

"Pertemuan AS-China adalah lebih daripada hanya mengenai perdagangan. Ia melibatkan jurang budaya yang luas dan penting untuk kedua-dua pihak melakukannya dengan betul. Bagi AS, mereka bersedia untuk melaksanakannya," katanya.


Bagi harga minyak, Innes berkata kenaikan semalaman akan mengurangkan impak daripada ketegangan perdagangan yang meningkat.

"Harga minyak mencatatkan kenaikan semalaman berikutan dikatakan persetujuan pengimbangan semula di peringkat global untuk mengurangkan pengeluaran akan dicapai daripada pertemuan antara Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada mesyuarat G-20 minggu ini," katanya.

Sehingga jam 9 pagi, penanda aras minyak mentah Brent berada pada AS$60.37 setong berbanding AS$59.48 setong semalam.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0479/0520 daripada 3.0484/0530 semasa ditutup pada Isnin, meningkat berbanding yen kepada 3.6933/6980 daripada 3.6969/7008 dan menokok berbanding euro kepada 4.7481/7555 daripada 4.7603/7665 semalam.

Ia naik berbanding pound British kepada 5.3678/3746 daripada 5.3727/3791 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini