Ringgit ditekan faktor luaran - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditekan faktor luaran

\\

KUALA LUMPUR  - Faktor luaran terus memberi tekanan kepada ringgit dengan penganalisis menjangkakan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin mengukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah pada Disember ini.

Petang Jumaat, ringgit ditutup le­bih rendah pada paras RM4.1750 berbanding dolar AS. Semalam, ringgit sedikit mengukuh apabila ditutup RM4.1590 dari Selasa iaitu RM4.1680.

Sejajar dengan kelemahan pasaran kewangan, bursa tempatan turut susut 13.33 mata kepada 1,708.09 mata di sebalik pres­tasi mendatar dalam pasaran AS dengan 567 kaunter rugi, 244 kaunter untung dan 339 kaunter tidak berubah.

Jumlah dagangan menyusut kepada 1,653.83 juta saham bernilai RM1,806 bilion berbanding semalam melibatkan 2,282.38 juta saham bernilai RM2.287 bilion.

Pada Rabu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan menunjukkan rizab antarabangsa susut 1.07 peratus kepada AS$101.7 bilion (RM424.01 bi­lion) setakat 31 Oktober lalu, berbanding AS$102.8 bilion (RM428.59 bilion) pada 15 Oktober.

Menurut Kenanga Research, ia merupakan penurunan dalam tempoh enam bulan berturut-turut sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu yang turut disebabkan oleh kebimbangan perang dagangan dan kenaikan kadar faedah AS yang memberi tekanan kepada ringgit.

“Secara purata, ringgit di­nia­­­gakan antara RM4.1584 pada September, susut 0.5 peratus. Setakat ini, ringgit jatuh 2.8 peratus berbanding dolar AS manakala mata wang Asia yang lain seperti rupiah, peso dan dolar Singapura susut 8.3 peratus, enam peratus dan 2.8 peratus.

“Walaupun paras rizab asing semasa kekal sihat, faktor luar yang semakin meningkat akan memberi tekanan kepada pertumbuhan domestik pada bulan-bulan berikutnya. Ini termasuklah keputusan Rizab Persekutuan AS untuk meningkatkan kadar faedah pada Di­sember, tiga lagi kenaikan pada tahun hadapan dan sekali kenaikan pada 2020 berikitan ekonomi AS yang kukuh dan pasaran buruh yang ketat di AS,” katanya dalam nota kajian.

Semalam, BNM mengekalkan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dan akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.

Jelas Kenanga Research, ini sejajar dengan tumpuan utama BNM bagi mengekalkan pertumbuhan memandangkan ekonomi domestik dijangka merosot menjelang hujung tahun ini.

BNM akan mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga Jumaat depan. Pada suku ke­dua, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus.

“Oleh itu, kami menjangkakan aliran keluar berterusan wang yang boleh menjana keuntungan jangka pendek dan ancaman susut nilai ringgit memandangkan dolar AS akan terus mengukuh dan tidak akan mendorong BNM menaikkan kadar faedah seperti negara-negara ekonomi baharu muncul yang lain, antaranya Indonesia dan Filipina.

“Kami juga telah menyemak semula unjuran ringgit kepada RM4.15 berbanding dolar AS, daripada sebelum ini, RM4.05 disebabkan ketidaktentuan ekonomi global dan pengukuhan dolar AS. Sejak beberapa minggu ini, ringgit diniagakan antara RM4.16 hingga RM4.18 berbanding dolar AS,” kata firma penyelidikan itu.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini