5 Cara Mudah Untuk Jimatkan Duit Anda




MESKIPUN telah bertukar kerajaan, isu kos sara hidup dilihat terus meningkat. Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta harga petrol yang lebih rendah masih belum berjaya menurunkan harga barang. Berapa lama lagi orang ramai perlu tunggu untuk meloloskan diri daripada bebanan kos sara hidup tinggi? Satu persoalan yang sukar dijawab. Kos semakin meningkat, harga barang juga terus naik dan ia bukan sesuatu yang mudah dikawal oleh kerajaan kerana harganya bergantung kepada faktor bekalan dan permintaan.

Mungkin satu tempoh yang lama diperlukan untuk melihat kos sara hidup menurun atau ia satu perkara yang mustahil. Tidak logik barang kali. Meskipun begitu, kehidupan perlu diteruskan. Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan sebagai pengguna? Berbelanja secara berhemah dan cuba berjimat sebaik boleh tanpa digelar kedekut.


Berikut adalah lima panduan mudah untuk berjimat.

1. Bawa bekal

Makan tengah hari di warung tepi jalan dicaj RM8 untuk sepinggan dan anda mula melenting. Tetapi tahukah anda harga ikan kembung terkini adalah RM15 sekilogram. Belum lagi ambil kira kos lain. Bawa bekal antara langkah mudah yang boleh dilakukan untuk menjimatkan perbelanjaan. Tidak perlu masak beriya gulai kari. Cukup hanya dengan memang­gang ikan atau ayam dan me­ngukus sayur bagi kehidupan yang lebih sihat. Rasanya ia tidak mengambil masa lebih satu jam untuk menyediakan bekalan makanan tersebut.

Malah, kebiasaannya maka­nan dijual mengandungi monosodium glutamat (msg) yang boleh menjejaskan kesihatan untuk tempoh jangka panjang. Ajak rakan sekerja bawa bekal dari rumah. Sambil menikmati makanan dibawa beramai-ramai, boleh juga berkongsi resipi masakan yang mudah tetapi sedap. Jika ada yang menyindir anda kerana bawa bekal, endahkan sahaja. Bil hospital pada masa akan datang sekiranya tidak menjaga makan, bukan mereka yang ‘membawang’ itu akan bayar.

2. Henti langganan yang kurang digunakan

Mungkin ada antara anda berazam menjadi ‘sado’ pada tahun lepas dan terus membuat langganan pusat gimnasium selama setahun tanpa berfikir panjang. Tambah pakej sekali dengan jurulatih peribadi. Harga bulanan kesemuanya RM200 sebulan. Tetapi lihat kembali jadual anda, bila kali terakhir anda ke gimnasium itu? Begitu juga dengan mereka yang saban tahun berhasrat menurunkan berat badan.

Sesetengah orang mungkin beranggapan jika mereka telah membayar, ia akan memberi motivasi ke gimnasium dengan kerap. Tetapi mereka lupa kadang-kala mereka perlu bekerja lebih masa dan hujung minggu, ada pula kenduri kahwin atau saudara datang ke rumah. Cuba ambil 30 minit setiap pagi sebelum ke tempat kerja untuk bersenam di taman. Ia percuma. Begitu juga video senaman di Youtube, kini anda boleh keluarkan peluh hanya di rumah. Me­nyapu, menjemur baju di ampai­an serta mencuci pinggan pun boleh berpeluh.

3. Fesyen biar berpada

Tudung sehelai RM300 pada hari pelancaran, berpusu-pusu wanita tempatan membanjiri kedai berjenama itu. Dalam Islam sendiri, menutup aurat tidak memerlukan satu material yang terlalu mahal. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu perkongsian ilmu pernah mengingatkan bahawa yang dimaksudkan dengan menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, pakai­an yang longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki.

Dalam hal itu, tidak ada sebarang mazhab menyatakan, tutup aurat perlu memakai tudung berharga RM100 ke atas. Belum lagi pelancaran koleksi terbaharu pereka fesyen untuk baju raya, ada yang hampir mence­cah RM1,000 sepasang. Pakai sekejap pada hari raya pertama selepas itu kena tukar uniform untuk basuh pinggan. Berbaloikah? Renung-renungkanlah dan selamat beramal.

4. Berhenti merokok

Tidak dapat dinafikan, tabiat merokok sememangnya boleh menyebabkan ketagihan dalam diri seseorang. Amalan yang didominasi oleh kaum lelaki itu sukar dijauhkan apatah lagi buat mereka yang sudah berpuluh tahun lamanya menjadi perokok. Sekotak rokok berharga dalam lingkungan RM15 hingga RM18. Dalam masa seminggu, berapa agaknya jumlah rokok yang akan dihabiskan oleh perokok tegar?

Keputusan berhenti merokok bukan sahaja mengelakkan pembaziran wang tetapi mengambil kira faktor kesihatan. Ba­yangkan, jika sehari perokok tegar menghabiskan sekurang-kurangnya RM34 untuk membeli dua kotak rokok dan secara purata membelanjakan sekitar RM1,000 sebulan untuk tujuan tersebut, bukankah individu itu boleh menyimpan wang sebanyak RM1,000 sebulan? Jika bukan sekarang, bila lagi anda boleh berhenti daripada tabiat buruk itu?

5. Tukar tempat lepak

Dalam kita berjimat, perlu diakui kita tidak boleh melupakan rakan-rakan yang sentiasa berada bersama kita pada waktu se­nang mahupun susah. Berban­ding memilih kafe hipster sebagai lokasi untuk berjumpa, taman riadah juga antara pilihan yang baik. Selain dapat meluangkan masa bersama teman, anda juga dapat bersenam. 2 dalam 1 konsepnya.

Secawan kopi latte berharga RM12 hingga ke RM13, belum lagi semangkuk nachos bersama keju buat kudapan untuk bergosip dengan teman rapat. Setelah habis berborak, jumlah bil untuk dua orang kesemuanya hampir RM100! Wow. Wang itu kalau digunakan untuk membeli barang dapur, boleh dapat hampir separuh bakul.

Tidak salahnya jika kita tukar persepsi bahawa untuk lepak mesti ke tempat mahal. Ba­nyak lagi pilihan lain. Sekiranya anda merancang menganjurkan ­reunion atau gathering buat sekumpulan kecil kawan-kawan, tema potluck di Taman KLCC juga menarik. Jangan lupa ‘wefie’ beramai-ramai berlatar belakangkan mercu tanda ikonik dan nikmati kehijauan di situ.

Pilihan di tangan anda. Selamat berbelanja secara berhemah dan berjimat.




Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini