HSBC jangka ringgit diniagakan sekitar RM4.15 pada Q1



KUALA LUMPUR: HSBC Malaysia menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sekitar 4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama (Q1) 2019, berikutan penangguhan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan harga minyak yang diunjurkan lebih baik.

Ketua Pemasaran Global, Malaysia, Alvin Kong, berkata pada ketika ini, wujud peningkatan risiko terhadap ekonomi AS dan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka membiarkan kadar faedah kekal tidak berubah.

"Tahun ini, kami menjangkakan ringgit lebih stabil. Bagaimanapun, menjelang hujung tahun, mata wang tempatan dijangka diniagakan pada paras julat 4.3,” katanya kepada pemberita pada taklimat media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Bersama Economics Research, Frederic Nuemann, berkata bank mengurangkan unjurannya kepada kenaikan satu kadar daripada kenaikan dua kadar yang dijangka dilaksanakan oleh Fed pada tahun ini, bersandarkan pada kelemahan beberapa data ekonomi AS.

“Kami mengunjurkan (kadar kenaikan) adalah pada separuh kedua tahun ini. Dengan itu, kami tidak fikir Fed akan perlu memotong kadar itu seperti dijangka sebilangan pelabur kerana momentum asas (ekonomi) di AS kekal kukuh.

“Pertumbuhan perkhidmatan sektor pengambilan pekerja kekal sihat dan kami fikir akhirnya mungkin hanya membabitkan satu lagi kadar kenaikan. Satu cara untuk fikirkan tentang perkara ini adalah, tahun lepas, Fed melaksanakan kenaikan kadar faedah yang benar-benar mengejutkan dan ia telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia,” katanya.

Ketua penyelidik pertukaran mata wang pasaran yang sedang pesat membangun, Paul Mackel, berkata dolar AS pada umumnya diunjurkan kekal kukuh berbanding mata wang utama yang lain.

“Saya percaya pasaran masih cuba menjual dolar pada ketika ini kerana mereka fikir Fed boleh menjadi lebih berhati-hati di masa depan, tetapi kami fikir masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan ini.

“Ini berikutan ekonomi AS terus kukuh dan ekonomi China yang semakin lemah sedikit sebanyak memberi tekanan terhadap mata wang utama yang lain, termasuk mata wang di Asia.

“Ini tidak semestinya pandangan yang amat negatif terhadap ringgit, berdasarkan jangkaan kami yang ia akan diniagakan pada paras sekitar 4.3 berbanding dolar AS, tetapi ia lebih kepada dolar secara umumnya akan kekal kukuh pada tahun ini,” katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini